Sorting by

×

TEATER AMAL: MANEK SULAMKAN SI-AYER MATA BANTU KUMPUL DANA BANTU ASNAF

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

AYER KEROH 16 Mei – Keunikan seni budaya Peranakan Baba dan Nyonya dipersembahkan menerusi Teater Amal: Manek Sulamkan Si-Ayer Mata berjaya memukau penonton sepanjang 90 minit pementasan berlangsung.

Dipentaskan di Auditorium Panggung Seri, Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Melaka, persembahan teater amal yang merupakan antara inisiatif dilaksanakan Badan Amal Kebajikan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Negeri Melaka (BISTARI) dalam usaha berterusan mengangkat keunikan budaya Peranakan Baba dan Nyonya.

Teater amal itu mengisahkan Guek Neo, seorang pengusaha kasut manik Baba Nyonya yang dirundung kesedihan dan perasaan bimbang berikutan anak perempuan tunggalnya, Molly menolak untuk mewarisi perniagaan keluarga yang kaya dengan tradisi kerana mahu berkahwin.

Pengerusi BISTARI, Datin Seri Utama Datuk Wira Zuriyah Abd Aziz berkata, persembahan teater amal itu tidak akan berjaya tanpa sokongan daripada semua pihak yang memberikan sepenuh komitmen.

“Terima kasih juga saya ucapkan kepada penonton yang sudi meluangkan masa untuk hadir dan menyokong produk seni Melaka.

“Secara tidak langsung membantu BISTARI khususnya untuk mengumpul dana bagi meneruskan usaha amal kebajikan rakyat di negeri ini terutamanya melibatkan golongan asnaf,” katanya ketika ditemui selepas menyaksikan pementasan teater itu di  Auditorium Panggung Seri, Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Melaka, semalam.

Hadir sama meluangkan masa menonton teater amal itu Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin bersama isteri Datin Ernie Aidilia Karim; Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin serta Pegawai Kewangan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh.

Hadir sama, Pengarah JKKN Melaka Ezlina Alias dan Presiden Persatuan Pelancongan Negeri Melaka (MTA) Madelina WL Kuah.

Menurut Zuriyah, teater amal bercorakkan muzikal itu merupakan hasil kolaborasi antara BISTARI bersama MTA, JKKN Melaka serta Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

103
Kongsi :
Previous post TOK RAUF MAHU PERKASA ANAK MASJID TANAH