
‘DAK RAUF TAK LUPA JASA GURU’
TANJUNG BIDARA 16 Mei – Guru atau cikgu, amat dekat di hati Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, bagi beliau warga pendidik adalah insan hebat yang boleh membentuk masa hadapan seseorang insan bergelar anak murid.
Katanya, nasihat atau bantuan daripada guru meskipun kecil mampu mengubah kehidupan seseorang dan itulah yang dilalui beliau sehingga bergelar Ketua Menteri pada hari ini.
“Sejujurnya, semasa di bangku sekolah, saya ini bukannya pelajar yang orang pandang akan jadi pemimpin pun. Nak kata paling pandai jauh sekali. Nak kata paling baik..saya rasa cikgu-cikgu saya lebih tahu macam mana nakalnya Dak Rauf ini dulu.
“Umpamanya, kalau jurutera membina bangunan..gurulah yang membina manusia. Kalau arkitek melakar pelan pembangunan negeri..gurulah yang melakar masa depan tamadun.
“Apapun daripada lubuk hati saya yang paling dalam..saya bersama seluruh rakyat Negeri Melaka serta barisan kepimpinan Kerajaan Negeri merakamkan segunung penghargaan kepada semua warga pendidik,
baik yang masih berkhidmat mahupun yang telah bersara, atas segala jasa, pengorbanan dan keikhlasan yang dicurahkan dalam membentuk masa depan anak bangsa,” kata Ketua Menteri.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Malam Seuntai Kasih Sejambak Bakti Buat Pesara Guru Parlimen Masjid Tanah di Villa D’Acqua, Masjid Tanah, di sini, malam tadi.
Majlis meraikan 570 pesara guru dalam Parlimen Masjid Tanah itu turut dihadiri Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau serta Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Zulkiflee Mohd Zin merangkap Adun Taboh Naning.
Hadir sama Timbalan Exco, Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Datuk Rosli Abdullah merangkap Adun Kuala Linggi serta Adun Lendu Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.
Ab Rauf yang juga Adun Tanjung Bidara berkata sebuah negeri boleh membina jalan raya dalam beberapa bulan, tetapi untuk membina manusia berkualiti, ia mengambil puluhan tahun pengorbanan seorang guru.
“Bila direnung kembali saya sedar, jika bukan kerana cikgu-cikgu yang membentuk saya dahulu, jika bukan
kerana insan-insan yang membantu dan tidak pernah putus asa membimbing saya, mungkin saya tidak berdiri di sini hari ini.
“Orang selalu melihat kejayaan seorang pemimpin ketika dia berdiri di atas pentas tetapi mereka jarang melihat gurulah yang pernah berdiri di belakang kehidupannya. Pendek kata, tiada Ketua Menteri tanpa
guru, tiada pemimpin tanpa pendidik.
“Sebab itu, saya selalu percaya di sebalik kejayaan setiap pemimpin, pegawai, doktor, jurutera dan insan-insan hebat, pasti ada keringat seorang guru yang pernah mendidik mereka suatu ketika dahulu,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


