Sorting by

×

NALURI JURURAWAT MEMANG SENTIASA MAHU MEMBANTU

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

LENDU 16 Mei – Menerima penghargaan disampaikan sendiri oleh Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, dianggap sebagai penyuntik semangat buat dua jururawat ‘senior’ ini dalam meneruskan tanggungjawab mereka dengan penuh dedikasi.

Syakhiyyatie Abdullah berkata, meskipun berpewatakan lembut pada luaran seorang jururawat sebenarnya perlu memiliki jiwa yang kental, sabar dan kuat semangat dalam melayan kerenah pesakit serta menjalankan tugas.

Katanya, di rumah pula dia tidak terlepas daripada tanggungjawab sebagai seorang isteri dan ibu kepada tiga anak, berikutan itu perlu bijak membahagikan masa antara tugas serta keluarga.

“Alhamdulillah, saat menerima sendiri penghargaan daripada Ketua Menteri saya berasa amat dihargai, tanpa sedar pengorbanan kami sebagai jururawat sebenarnya diperhatikan oleh kepimpinan Kerajaan Negeri Melaka.

“Semoga penghargaan ini membakar semangat saya dan petugas kesihatan lain untuk terus berkhidmat dengan cemerlang, sebagai jururawat memang naluri kami untuk sentiasa membantu, melihat masyarakat sihat dan sejahtera,” katanya yang berkhidmat sebagai Jururawat Maysarakat selama 17 tahun di Klinik Kesihatan Masjid Tanah.

Dia berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Santunan Seuntai Kasih, Semakar Legasi Warga Kesihatan Parlimen Masjid Tanah di Dewan Sebaguna Kompleks Sukan Masjid Tanah, di sini, pada Rabu.

6062083877607511217
SITI NOR AFIZA.

Seorang lagi penerima penghargaan khas Ketua Menteri Siti Nor Afiza Shuhaimi berkata, berkhidmat di Melaka adalah satu pengalaman yang amat bermakna buat dirinya yang berasal dari Perak.

“Mahu jadi jururawat perlu banyak berkorban. Contoh saya sendiri bertugas sebagai Jururawat Masyarakat di Klinik Kesihatan Lubok China, perlu sentiasa ‘on call’ terutamanya apabila ada kecemasan melibatkan ibu mahu bersalin.

“Tetapi kita perlu sentiasa positif, jururawat bukan sekadar satu kerjaya tetapi ibadah dan kita perlu laksanakan tanggungjawab itu dengan sebaik mungkin,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

348
Kongsi :
Previous post SEPETANG WARISAN SANTAI @ BANDA HILIR HIDUPKAN SUKAN RAKYAT