
TAUGE MACHAP BARU TEMBUSI PASARAN SINGAPURA
MACHAP JAYA 15 Mei – Tauge dengan kerangupan dan rasa manis apabila dikunyah sememangnya menjadi pilihan penggemar sayuran tersebut.
Di sebalik keenakan itu, sebuah kilang tauge di Machap Baru berjaya menempa nama apabila hasil keluarannya menembusi pasaran Singapura selain memenuhi permintaan tempatan.
Anak kepada pengusaha tauge, Chong Yuqian, 29, berkata, kilang berkenaan telah beroperasi sejak 15 tahun lalu hasil usaha bersama bapa, Chong Song Fee, 58, dan pak ciknya, Chong Kee Wee, 61, yang berganding bahu membangunkan perusahaan tersebut dari bawah.
“Perusahaan ini diusahakan oleh dua beradik iaitu bapa dan pakcik saya. Pada peringkat awal, mereka tidak mempunyai pengalaman dalam penghasilan tauge, jadi mereka belajar sendiri dan mendapatkan tunjuk ajar daripada orang berpengalaman dalam industri.
“Bermula secara kecil-kecilan dengan kapasiti sekitar satu hingga lima tan sehari, kini kami mampu menghasilkan lebih 10 tan tauge sehari bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui di kilang MSM Food Industries Sdn. Bhd, Kampung Machap Baru, di sini.
Dia yang juga bekerja sebagai pentadbir dan pengurus di kilang itu menambah bahawa bilik gelap seluas lima ekar tersebut mampu menempatkan 150 tong besar dan 500 tong kecil yang dipenuhi tauge.
Menurutnya, penggunaan biji kacang hijau import dari Myanmar antara faktor yang menyumbang kepada kualiti tauge yang lebih baik dan konsisten.
“Kami menggunakan kacang hijau import jenis ‘Black Matpe’ yang memberi hasil tauge lebih berkualiti berbanding sesetengah pengusaha lain yang menggunakan kacang hijau biasa,” katanya.
Produk keluaran kilang MSM Food Industries Sdn. Bhd. itu, kini dipasarkan ke seluruh Malaysia termasuk Johor, Kuala Lumpur, Ipoh dan Melaka, selain dieksport ke Singapura melalui penghantaran harian kepada pelanggan dan pasar raya besar seperti NSK dan Mydin.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

