Sorting by

×

INISIATIF MBMB BANTU KURANGKAN 1.1 JUTA KILOGRAM KARBON DIOKSIDA

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

AYER KEROH 16 Mei – Program Anda Kitar Kami Bayar (AKKB) anjuran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) telah membawa impak cukup besar termasuk membantu pengurangan karbon sebanyak lebih 1.1 juta kilogram karbon dioksida ketara (CO₂e).

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata, jumlah itu bersamaan dengan penyerapan karbon oleh 52,818 pokok.

Jelas beliau, usaha itu secara tidak langsung berupaya memperkukuh imej Melaka sebagai negeri yang bersih, hijau dan lestari.

“Inisiatif ini juga menjadi pemangkin kepada pembentukan masyarakat yang lebih bertanggungjawab terhadap alam sekitar.

“Pencapaian sepanjang penganjuran kempen ini secara tidak langsung membuktikan bahawa komuniti bandaraya mempunyai kesedaran tinggi terhadap kepentingan penjagaan alam sekitar dan ekonomi kitaran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Anda Kitar Kami Bayar (AKKB) Siri 3/2026 Sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-23 Bandaraya Melaka Bersejarah di Dataran Bandaraya MBMB, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha MBMB Muhammad Firdaus Shariff; Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Melaka Nor Zaki Md Nor serta kenamaan lain.

Menurut Rais, sebagai sebuah negeri pelancongan dan bandar warisan dunia, aspek kebersihan, kesejahteraan bandar dan pemeliharaan alam sekitar perlu sentiasa diberi keutamaan.

Justeru, beliau menyambut baik usaha semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Melaka dalam menganjurkan pelbagai inisiatif hijau di seluruh negeri.

“Kerajaan Negeri juga sentiasa mengalu-alukan kerjasama strategik daripada pihak swasta, badan bukan kerajaan dan komuniti dalam memperkukuhkan agenda hijau demi kesejahteraan rakyat dan masa depan negeri Melaka yang lebih lestari di negeri ini,” tambah beliau.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

74
Kongsi :
Previous post ‘JURUTERA HUTAN’ PENYERI ZOO MELAKA