
MELAKA TAWAR INSENTIF ‘TAGGING’ LEMBU, KERBAU PERCUMA HINGGA HUJUNG TAHUN
MERLIMAU 16 Mei – Semua penternak lembu dan kerbau di negeri ini disaran memanfaatkan insentif pemasangan ‘tagging’ secara percuma bagi haiwan ternakan mereka sehingga hujung tahun ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pemasangan ‘tagging’ yang dilengkapi kod respon pantas (QR) dan berfungsi sebagai identiti digital itu kini diwajibkan kepada semua lembu dan kerbau ternakan di negeri ini sebagai usaha mentransformasikan sektor penternakan.
Jelas beliau, insentif pemasangan percuma itu hanya akan diberikan pada tahun ini sahaja dan bermula tahun hadapan (2027) kesemua pemilik haiwan perlu mengeluarkan kos berjumlah RM5 bagi setiap ternakan.
“Insentif ini diperkenalkan sebagai galakan untuk penternak memasang ‘tagging’ pada haiwan ternakan mereka.
“Jadi, penternak boleh mendaftar dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Melaka dan pemasangan ‘tagging’ ini akan dilakukan di ladang mereka secara percuma hanya sehingga hujung tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran QR Tagging Haiwan Ternakan Negeri Melaka di Pejabat Pembangunan Pertanian Melaka, Semujuk, di sini, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan serta Timbalan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Low Chee Leong.
Yang turut hadir, Pegawai Daerah Jasin Datuk Rahizi Ranom; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) Muhammad Zahiruddin Mohd Zahari; Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan, Unit Kerajaan Tempatan, Jabatan Ketua Menteri Melaka Mahathir Mustafar; Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Melaka Dr. Mariati Daud Gan; Ketua Pegawai Eksekutif Pembangunan Pertanian Negeri Melaka Azahar Mohamed serta lain-lain kenamaan.
Menurut Ketua Menteri, dengan pengenalan ‘tagging’ haiwan ternakan itu, Kerajaan Negeri juga bakal menggubal akta di bawah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi mengurus haiwan ternakan di negeri ini secara lebih teratur dan terancang.
Malah, jelas beliau, penggubalan itu juga dapat membantu Kerajaan Negeri memutuskan kompaun atau hukuman yang munasabah sekiranya berlaku kes-kes kemalangan membabitkan haiwan ternakan berkeliaran.
“Sekiranya selepas akta ini digubal dan mereka (penternak) tidak mematuhi apa yang diputuskan, Kerajaan Negeri menerusi PBT boleh memutuskan pelbagai denda atau hukuman mengikut lunas undang-undang yang ditetapkan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

