
MELAKA SALUR RM16.96 JUTA PERKUKUH PERTANIAN, KETERJAMINAN MAKANAN
MERLIMAU 16 Mei – Sejumlah RM16.96 juta telah diperuntukkan menerusi bajet negeri bagi memperkukuh sektor pertanian dan keterjaminan makanan dalam tempoh tiga tahun pentadbiran Kerajaan Negeri.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, daripada jumlah itu lebih 40 program telah dilaksanakan yang memberi manfaat secara menyeluruh kepada petani, pesawah, penternak dan nelayan.
Jelas beliau, antara inisiatif yang telah dilaksanakan dan memberi impak adalah Program Memperkasa Tanaman Padi Negeri Melaka yang kini berjaya menghasilkan pengeluaran mencecah 219 metrik tan benih padi, sekali gus menyokong lebih 600 hektar sawah padi di Melaka.
Selain itu, ujar beliau, Kerajaan Negeri turut memperkasa Program Baka Ternakan Bersubsidi yang telah memberi manfaat kepada 110 penternak kecil, sebagai pemangkin transformasi ke arah penternakan semi-komersial.
“Pelaksanaan sistem automasi pintar berasaskan Internet Kebendaan (IoT) pula telah memberi manfaat kepada 16 pengusaha pertanian dan penternakan di negeri ini.
“Turut dilaksanakan, Projek Sekuriti Makanan yang melibatkan lima jenis tanaman buah-buahan, antaranya tembikai, nanas, rock melon dan Melaka Guava yang mencatatkan nilai pengeluaran mencecah RM22.52 juta.
“Selain itu, seramai 364 orang belia negeri Melaka telah dibantu bagi melaksanakan projek-projek penternakan, pertanian serta perikanan di negeri Melaka, melibatkan peruntukan berjumlah RM3.9 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran QR Tagging Haiwan Ternakan Negeri Melaka di Pejabat Pembangunan Pertanian Melaka, Semujuk, di sini, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan serta Timbalan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Low Chee Leong.
Yang turut hadir, Pegawai Daerah Jasin Datuk Rahizi Ranom; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) Muhammad Zahiruddin Mohd Zahari; Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan, Unit Kerajaan Tempatan, Jabatan Ketua Menteri Melaka Mahathir Mustafar; Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Melaka Dr. Mariati Daud Gan; Ketua Pegawai Eksekutif Pembangunan Pertanian Negeri Melaka Azahar Mohamed serta lain-lain kenamaan.
Tidak terhenti disitu, Ketua Menteri berkata, bagi mendepani cabaran krisis geo-politik Asia Barat yang secara tidak langsung turut memberi tekanan ekonomi kepada golongan petani, pesawah dan penternak di negeri ini, Kerajaan Negeri turut memperkenalkan tiga insentif khas.
Jelas beliau, insentif pertama berupa Insentif Pembajakan kepada pesawah membabitkan subsidi RM30 per ekar secara one-off yang melibatkan keluasan tanaman padi seluas 1,500 hektar.
“Selain itu, Kerajaan Negeri turut memberikan Subsidi Diesel berjumlah RM200 hingga RM500 secara one-off kepada petani berdaftar dengan Lembaga
Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), serta aktif mengeluarkan hasil tanaman.
“Insentif terakhir berupa Pengecualian Fi Dan Sewa Tahunan Lesen Pendudukan Sementara kepada golongan penternak mahupun petani yang menggunakan tanah kerajaan secara sewa,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan terima kasih kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan yang menyalurkan peruntukan sebanyak RM40.43 juta bagi melaksanakan pelbagai projek bekalan makanan yang berimpak tinggi di Melaka.
“Segala usaha ini bukan sekadar soal angka, subsidi atau bantuan semata-mata. Lebih dari itu, ia tentang memastikan rakyat tidak gusar tentang bekalan makanan, begitu juga tentang memastikan para petani dan penternak tidak pernah rasa dipinggirkan,” tambah beliau.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

