Sorting by

×

LEMBU, KERBAU TANPA ‘TAGGING’ DI MELAKA BOLEH DIANGGAP TIADA TUAN

Masa Membaca:1 Minit, 43 Saat

MERLIMAU 16 Mei – Melaka mewajibkan semua lembu dan kerbau ternakan di negeri ini dipasang ‘tagging’ pada telinga sebagai langkah proaktif mentransformasikan sektor penternakan.

Usaha itu juga menjadi langkah penting dalam melahirkan penternak yang bertanggungjawab dan tidak melepaskan haiwan ternakan mereka berkeliaran sehingga menyebabkan kemalangan dan meragut nyawa pengguna jalan raya.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, selepas akta berkait inisiatif itu dikuatkuasakan, mana-mana lembu atau kerbau ternakan yang tidak dipasang tag boleh dianggap menyalahi undang-undang yang ditetapkan.

“Maknanya, jika kita dapati haiwan ini berkeliaran dan keluar dari premis yang diwartakan, maka ia boleh dianggap tidak bertuan dan sesiapa sahaja boleh mengambil haiwan itu, termasuk Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) boleh menangkap dan mengenakan tindakan undang-undang kepada pemilik.

“Tindakan ini bukan bertujuan menghukum, tetapi kita mahu mendidik penternak. Saya percaya sekiranya penternak lebih bertanggungjawab, kadar kemalangan akibat haiwan ternakan berkeliaran ini dapat dikurangkan dengan drastik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran QR Tagging Haiwan Ternakan Negeri Melaka yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Pejabat Pembangunan Pertanian Melaka, Semujuk, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan serta Timbalan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Low Chee Leong.

Yang turut hadir, Pegawai Daerah Jasin Datuk Rahizi Ranom; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) Muhammad Zahiruddin Mohd Zahari; Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan, Unit Kerajaan Tempatan, Jabatan Ketua Menteri Melaka Mahathir Mustafar; Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Melaka Dr. Mariati Daud Gan; Ketua Pegawai Eksekutif Pembangunan Pertanian Negeri Melaka Azahar Mohamed serta lain-lain kenamaan.

Menurut Dr. Muhamad Akmal, setakat ini seramai 800 daripada 1,200 penternak di Negeri Melaka telah mendaftar bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar bagi pemasangan ‘tagging’ bagi haiwan ternakan mereka.

Beliau memaklumkan, Kerajaan Negeri bersama agensi berkaitan akan terus memberi pendedahan kepada semua penternak berhubung inisiatif Kerajaan Negeri itu dalam pelbagai program termasuklah menerusi Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

426
Kongsi :
Previous post MELAKA SALUR RM16.96 JUTA PERKUKUH PERTANIAN, KETERJAMINAN MAKANAN