
MELAKA BAKAL PERKENAL ‘PENTERNAKAN IKAN DIGITAL’
MERLIMAU 16 Mei – Penternakan ikan di Melaka bakal ditransformasikan dengan pengenalan sistem berasaskan kecerdasan buatan (AI) dan Internet Pelbagai Benda (IoT) tidak lama lagi.
Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, usaha itu antara yang sedang dirangka, di mana ia bakal membabitkan projek rintis dengan permohonan peruntukan berjumlah RM3 juta.
Jelas beliau, mengikut perancangan, projek berkenaan bakal membabitkan penternakan pintar ikan tilapia merah yang akan dijalankan secara berfasa.
“Menerusi sistem ini, kita akan membangunkan pusat penetasan (hatchery) dan pembesaran ikan (grow-out) menggunakan sistem teknologi pintar.
“Kita sudah menghantar kertas cadangan dan sedang menunggu kelulusan daripada kerajaan. Insya-Allah jika direalisasikan, kita bakal memiliki satu lagi inisiatif digital berasaskan perikanan yang akan dibangunkan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran QR Tagging Haiwan Ternakan Negeri Melaka yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Pejabat Pembangunan Pertanian Melaka, Semujuk, di sini, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan serta Timbalan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Low Chee Leong.
Yang turut hadir, Pegawai Daerah Jasin Datuk Rahizi Ranom; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) Muhammad Zahiruddin Mohd Zahari; Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan, Unit Kerajaan Tempatan, Jabatan Ketua Menteri Melaka Mahathir Mustafar; Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Melaka Dr. Mariati Daud Gan; Ketua Pegawai Eksekutif Pembangunan Pertanian Negeri Melaka Azahar Mohamed serta lain-lain kenamaan.
Dr. Muhamad Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau berkata, mengikut perancangan, projek tersebut dicadang akan dibangunkan di sebuah kawasan di daerah Jasin yang telah dikenal pasti.
“Untuk permulaan, kita akan memulakan di satu kawasan terlebih dahulu dan sekiranya ia berjaya, projek ini akan diperluaskan di lokasi atau daerah lain dalam Negeri Melaka,” ujarnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

