
SENI ABSTRAK PASIR TERAPI JIWA NORHANEM
MACHAP JAYA 27 Mei – Kanvas putih, warna pastel dan juga pasir pantai menjadi medium komunikasi jiwa, terapi mental dan cerminan realiti hidup anak seni, Norhanem Mohd Noor, 62.
Nama Norhanem sebenarnya tidak asing dalam kalangan komuniti seni lukis tempatan, khususnya apabila melibatkan karya abstrak.
Katanya, lukisan abstrak yang dihasilkan sebenarnya tersirat pelbagai kisah alam menampilkan elemen seperti tumbuhan, kesenian dan budaya Melayu padat dengan keindahan serta kehalusan.
Menurutnya, bagi mencari kelainan dia menggunakan campuran pasir bersama warna pastel dan gam untuk menceritakan serta menterjemahkan maksud ingin disampaikan di atas sehelai kanvas kosong.
“Lukisan abstrak itu menarik, kerana ia memiliki emosi tersendiri, tetapi apabila memasukkan unsur alam seperti pasir ia menambah lagi keunikan pada sesebuah karya. Kita bukan sahaja dapat menilai seni secara visual atau melihat tetapi juga deria sentuhan.
“Melihat dan menyentuh lukisan meningkatkan lagi tahap penghayatan mengenai kehalusannya, sekali gus memahami maksud sesebuah lukisan. Karya menggunakan gabungan elemen ini juga ada peminatnya, contoh maklum balas daripada pelanggan kami, beliau memaklumkan anaknya berasa puas apabila dapat menyentuh lukisan tergantung pada dinding,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Graduan Ijazah Sarjana Muda Seni Halus, Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka Universiti Teknologi MARA (UiTM) ini berkata, pemilihan pasir pula bukan sembarangan kerana diambil dari pantai-pantai peranginan tertentu termasuk di Thailand.
Dia kini menetap di Kampung Kemuning, Machap Jaya berkata, sebelum ini pasir yang digunakan diambil dari pantai di Pulau Langkawi, Port Dickson di Negeri Sembilan dan beberapa lokasi peranginan sekitar Melaka termasuk Pantai Puteri.
“Saya mengelakkan daripada guna pasir terlalu halus atau berdebu dan pasir paling unik setakat ini diambil di Pulau Langkawi kerana bewarna hitam,” katanya.
Kerjaya seni Norhanem terbantut seketika apabila dia mengalami strok otak dan lebih merisaukan masalah boleh menyebabkan dia hilang ingatan jika tidak menjalani rawatan yang sewajarnya.
Mungkin sudah sebati bermain warna dan bercerita menggunakan kanvas, kemahiran dimilikinya itu turut menjadi terapi yang membantu Norhanem melawan strok dialami hingga tahap kesihatannya kini semakin baik.
“Sepanjang tempoh itu doktor menyarankan kepada saya supaya terus melukis, jangan berhenti, hasilnya memang tidak cantik tetapi pergerakan tangan membantu saya untuk pulih dan pada masa yang sama saya turut mengikuti sesi terapi serta rawatan berkala.
“Alhamdulillah sekarang sudah boleh menguruskan diri sendiri tanpa terlalu bergantung kepada bantuan isteri atau anak-anak,” katanya.
Atas dasar mahu berkongsi ilmu seni yang ada dalam jiwanya, Norhanem juga pernah menjadi pensyarah sambilan di UiTM, Kolej Iniversiti Teknologi Antarabangsa Twintech, Akademi Seni Melaka, Institut Mensa, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dan Universiti Industri Selangor (Unisel) antara 1991 hingga 2002.
Lukisan yang dihasilkan anak jati Melaka ini juga bukan biasa-biasa kerana turut dibeli bagi menghiasi dinding bangunan pentadbiran utama syarikat berkaitan kerajaan (GLC), bank dan hotel terkemuka.
Dia juga acap kali menjayakan pameran seni secara solo seperti di Galeri New Straits Times dan Galeri Maybank.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

