
MELAKA TAK PERNAH SUNYI DENGAN PROGRAM PELANCONGAN
BANDA HILIR 31 Mei – Sektor pelancongan Melaka terus riuh dengan pelbagai program pelancongan yang diadakan hampir setiap minggu sepanjang tahun ini.
Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata, ia sekali gus mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri dalam memperkasa sektor itu yang menjadi penyumbang ekonomi terbesar negeri.
Menurutnya, sempena cuti panjang dan cuti persekolahan, pelbagai acara turut dirangka antaranya menerusi program Riuh Ria @ Banda Hilir Melaka yang menghimpunkan pelbagai aktiviti menarik untuk pengunjung dan pelancong.
Jelas beliau, program anjuran Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Melaka dengan kerjasama Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) itu bukan sahaja menampilkan persembahan kebudayaan malah turut dimeriahkan dengan sukan tradisional dan juga program kerohanian.
“Program ini berlangsung selama dua hari dan diadakan sempena cuti panjang iaitu cuti sekolah, Hari Raya Aidiladha dan beberapa cuti umum.
“Memandangkan Melaka sering menjadi destinasi tumpuan, Kerajaan Negeri tampil menyajikan beberapa program kebudayaan, kesenian dan kerohanian khusus untuk pengunjung yang datang ke Banda Hilir.
“Kita mahu pengunjung atau pelancong yang datang ke Melaka merasai pengalaman yang menarik dan pastinya Melaka tidak pernah sunyi dengan aktiviti pelancongan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program Riuh Ria @Banda Hilir yang turut dihadiri Pengurus Besar BPP Melaka Nasrul Ahmad di perkarangan Bangunan Stadthuys, di sini, malam tadi.

Menurut Abdul Razak, antara keunikan program itu adalah turut mengetengahkan beberapa sukan rakyat antaranya baling tin, boling kelapa dan pertandingan dam aji.
“Penganjuran acara ini bukan sahaja bertujuan menghiburkan pengunjung tetapi menjadi medium memperkenalkan semula warisan permainan tradisional kepada generasi muda dan pelancong yang berkunjung ke Melaka,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


