
AIDILADHA AJAR MUALAF ERTI PENGORBANAN, BERKONGSI REZEKI
KESIDANG 4 Jun – Penglibatan dalam Projek Sunduk Korban bukan sekadar memberi peluang kepada seorang mualaf untuk berbakti kepada masyarakat, malah membuka ruang buatnya menghayati makna sebenar pengorbanan dan keindahan berkongsi rezeki sesama insan.
Bagi Muhammad Ridhwan Michael Abdullah, 50, setiap kali tiba Aidiladha, beliau akan memastikan dirinya turut terlibat sebagai sukarelawan dalam Projek Sunduk Korban anjuran Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).
Katanya, program itu memberi pengalaman yang cukup bermakna dalam perjalanan hidupnya sebagai saudara baharu, selain membantunya memahami hikmah di sebalik ibadah korban yang dituntut dalam Islam.
“Setiap tahun saya akan pastikan untuk terlibat sama dalam menguruskan daging korban kerana inilah antara medan pahala yang dapat saya rebut selepas bergelar saudara Muslim.
“Bagi saya, program seperti ini amat membantu golongan mualaf memahami pengertian sebenar ibadah korban, bukan sekadar menyembelih haiwan tetapi juga tentang keikhlasan, pengorbanan dan berkongsi rezeki dengan mereka yang memerlukan,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui pada Program Projek Sunduk Korban di Kompleks Darul Huda, Balai Islam MAIM, baru-baru ini.
Menurutnya, semangat gotong-royong yang terjalin sepanjang program itu turut mengajar nilai persaudaraan dan semangat saling membantu tanpa mengira latar belakang.
“Malah kami dapat belajar untuk saling membantu, bekerjasama dan menghormati antara satu sama lain. Hubungan silaturahim yang terjalin sepanjang program ini juga sangat bermakna buat saya.
“Sebagai mualaf, peluang seperti ini memberi ruang untuk saya mendalami ajaran Islam dengan lebih dekat sambil menyumbang tenaga kepada masyarakat,” katanya.
Dia turut berharap lebih ramai saudara baharu diberikan peluang menyertai program seumpama itu kerana ia bukan sahaja memperkukuh kefahaman agama, malah membantu membina keyakinan dan rasa kebersamaan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


