Sorting by

×

WRUR BANDA HILIR: CHAU YEN TERUSKAN MISI DEKATI GOLONGAN MEMERLUKAN

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

BANDA HILIR 4 Jun – Usaha mendekati golongan memerlukan menjadi keutamaan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bandar Hilir Leng Chau Yen yang menyasarkan 100 keluarga disantuni sepanjang Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Banda Hilir: Kota Melaka Kampung Kita.

Menurutnya, pendekatan turun padang dan ziarah dari rumah ke rumah penting bagi membolehkan beliau serta agensi kerajaan memahami sendiri realiti kehidupan penduduk.

Katanya, antara pengisian utama sepanjang WRUR adalah Program Ziarah Kasih yang melibatkan penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta Program Konvoi MBMB Sayang Rakyat (MeSRA) anjuran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).

“Di bawah Program Ziarah Kasih JKM sahaja seramai 50 penerima akan disantuni, manakala MBMB pula melibatkan lima keluarga yang menerima bantuan menerusi Program MeSRA.

“Kita juga akan mengadakan program ‘walkabout’ dan turun padang hampir setiap hari sepanjang WRUR bagi mendekati lebih ramai penduduk dan mendengar sendiri permasalahan yang mereka hadapi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas Program Konvoi MBMB Sayang Rakyat (MeSRA) sempena WRUR DUN Banda Hilir di Lorong Bukit Cina, di sini, semalam.

Hadir sama, Setiausaha Bandaraya MBMB Muhammad Firdaus Shariff.

Chau Yen yang juga Timbalan Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri berkata, setiap kunjungan dilakukan bukan sekadar menyampaikan bantuan, malah platform untuk menyelami kehidupan rakyat serta mengenal pasti bentuk bantuan yang boleh disalurkan.

“Apabila kita turun bertemu mereka (rakyat), kita dapat melihat sendiri keadaan yang dihadapi dan memahami cabaran sebenar kehidupan mereka.

“Ada yang berdepan masalah kesihatan, kekangan kewangan dan pelbagai kesukaran lain. Sebab itu kita mahu memastikan mereka tidak berasa dipinggirkan dan tahu bahawa kita sentiasa mengambil berat mengenai kebajikan mereka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

404
Kongsi :
Previous post AIDILADHA AJAR MUALAF ERTI PENGORBANAN, BERKONGSI REZEKI