Sorting by

×

JKM SINGGAH DI LEBIH 1,400 KEDIAMAN SEPANJANG WRUR

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

BANDA HILIR 3 Jun – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyantuni penghuni dalam kalangan golongan kurang berkemampuan di 1,450 rumah seluruh Melaka menerusi Program Ziarah Kasih sepanjang siri penganjuran program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR).

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin berkata, program itu dimulakan sejak siri pertama WRUR di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi.

Katanya, persinggahan melibatkan kediaman keluarga B40, orang kurang upaya (OKU), individu dalam keadaan uzur, penghidap masalah kesihatan kronik serta warga emas.

“Bagi setiap siri WRUR kita sasarkan untuk singgah di 50 kediaman. Program WRUR adalah bukti komitmen Kerajaan Negeri untuk terus mendekati rakyat terutamanya warga emas dan golongan kurang berkemampuan, agar tiada yang tercicir daripada menerima bantuan yang diperlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Ziarah Kasih Program WRUR DUN Banda Hilir, di Kampung Bukit Cina, hari ini.

Terdahulu, Majlis Pelepasan ‘Flag Off’ Ziarah Kasih Program WRUR DUN Banda Hilir disempurnakan Pengerusi Penyelaras WRUR Datuk Fairul Nizam Roslan.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Banda Hilir merangkap Timbalan Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Leng Chau Yen dan Pengarah JKM Melaka, Halyjah Muhamad.

Menurut Kalsom, Program Ziarah Kasih bukan sekadar platform menyampaikan bantuan tetapi menjadi medium JKM untuk mendekati rakyat secara langsung selain mengenal pasti keperluan sebenar golongan sasar.

“Pendekatan turun padang ini membolehkan kita melihat sendiri keadaan penerima, mendengar masalah yang dihadapi dan memastikan bantuan yang diberikan benar-benar memenuhi keperluan mereka.

“Dalam menyantuni golongan ini kita turut menyampaikan sumbangan kit makanan berserta wang tunai dengan harapan dapat membantu meringankan beban perbelanjaan.

“Bagi DUN Banda Hilir ini sebanyak 50 buah rumah akan disantuni dan hari ini kita lakukan secara serentak untuk 30 buah rumah dengan memfokuskan golongan warga emas,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

409
Kongsi :
Previous post WRUR BANDA HILIR : SENTUHAN MESRA WAKIL RAKYAT BUAT PENDUDUK RASA DIHARGAI