
WRUR BANDA HILIR : SENTUHAN MESRA WAKIL RAKYAT BUAT PENDUDUK RASA DIHARGAI
BANDA HILIR 3 Jun – Kunjungan wakil rakyat ke rumah penduduk menerusi Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Banda Hilir Kota Melaka: Kampung Kita membawa aura keceriaan dan kegembiraan buat golongan memerlukan.
Meskipun berjumpa empat mata dalam masa yang singkat ia sudah cukup membuatkan mereka berasa dihargai apabila ada pihak sudi singgah untuk bertanyakan khabar.
Selain itu buah tangan dalam bentuk barangan keperluan harian yang dihulurkan menterjemahkan keprihatinan kerajaan selaras dengan gagasan Melaka Sayang Rakyat (MeSRa).
Bagi penerima sumbangan Mad Pekeh Jayus, 69, dari Rumah Pangsa Bandar Hilir, kehadiran wakil rakyat yang sudi menziarahi dan bertanya khabar penduduk merupakan sesuatu amat bermakna buat dirinya.
Menurutnya, program seumpama itu memberi peluang kepada golongan kurang berkemampuan untuk berkongsi keadaan hidup mereka selain merasakan diri mereka tidak dipinggirkan.
“Alhamdulillah, saya bersyukur sangat bila ada wakil rakyat atau pemimpin datang ziarah kita. Program ini memang baik sebab dapat membantu rakyat susah seperti kami.
“Terima kasih kepada wakil rakyat Negeri Melaka kerana sudi datang menziarahi serta bertanya khabar rakyat seperti kami,” katanya ketika ditemui pada Program Konvoi MBMB Sayang Rakyat (MeSRA) sempena WRUR DUN Banda Hilir Kota Melaka: Kampung Kita di Rumah Pangsa Bandar Hilir, di sini, hari ini.

Seorang lagi penerima M Vasagi, 61, dari Rumah Pangsa Bakti 2 turut meluahkan rasa gembira apabila kediamannya menjadi antara lokasi yang diziarahi dalam program berkenaan.
Katanya sikap mesra dan prihatin yang ditunjukkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bandar Hilir Leng Chau Yen, memberi semangat kepada penduduk yang memerlukan perhatian dan bantuan.
“Program ini sangat bagus kerana banyak memberi sumbangan kepada golongan memerlukan, sudah tentu saya berasa sangat gembira dan tidak sangka ada pemimpin yang sudi datang ke rumah saya dan bertanya khabar,” katanya.
Pada program itu, kedua-dua penerima diberikan sumbangan barangan keperluan harian disampaikan oleh Chau Yen yang juga Timbalan Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri.
Hadir sama Setiausaha Bandaraya Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Muhammad Firdaus Shariff.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

