Sorting by

×

WRUR BANDA HILIR: MANFAATKAN TEKNOLOGI AI BAGI STATUS ADUAN RAKYAT

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

BANDA HILIR 2 Jun – Penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam menilai keberkesanan penyelesaian aduan rakyat dicadangkan bagi memastikan setiap isu yang dibangkitkan benar-benar diselesaikan dan bukan sekadar ditandakan sebagai selesai.

Ahli Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong berkata, teknologi itu boleh dimanfaatkan dalam Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) bagi meneliti maklum balas serta tindakan susulan yang diberikan oleh agensi kerajaan terhadap aduan penduduk.

Katanya, penggunaan AI mampu membantu mengenal pasti sama ada sesuatu aduan telah diselesaikan secara menyeluruh atau hanya ditutup tanpa memberi impak sebenar kepada rakyat.

“AI boleh membantu kita meneliti jawapan-jawapan yang diberikan supaya dapat memastikan sesuatu aduan itu benar-benar diselesaikan dan bukannya sekadar ditandakan sebagai selesai.

“Pendekatan ini boleh meningkatkan kecekapan serta keberkesanan penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Program WRUR Dewan Undangan Negeri (DUN) Banda Hilir yang dirasmikan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan mewakili Ketua Menteri di Dewan Terbuka Taman Laksamana Cheng Ho, di sini, pada Ahad.

Hadir sama Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching; Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Allex Seah Soo Chin; Timbalan Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Banda Hilir Leng Chau Yen; Timbalan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri merangkap Adun Kota Laksamana Low Chee Leong; Adun Ayer Keroh Kerk Chee Yee serta Pegawai Daerah Melaka Tengah Mohd Shaiful Hizam Johan.

Mengulas lanjut, Poay Tiong berkata, semua agensi kerajaan yang terlibat dalam program WRUR perlu memberi tumpuan kepada penyelesaian sebenar terhadap setiap aduan rakyat yang diterima.

Katanya, dua aspek utama yang perlu diberi perhatian ialah kecekapan dan keberkesanan tindakan susulan supaya masalah yang dibangkitkan dapat diselesaikan dengan pantas dan menyeluruh.

“Kita tidak mahu ada agensi yang hanya mengumpul aduan namun tidak menyelesaikan dan menutup kes tanpa tindakan yang berkesan.

“Sebagai wakil kepada kerajaan, kita perlu bertindak segera dan memastikan setiap tindakan yang diambil benar-benar membantu menyelesaikan masalah rakyat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

648
Kongsi :
Previous post MUALAF MAIM TEMUI MAKNA SEBENAR IBADAH KORBAN
Next post BATIK HUTAN PERCHA SEMAKIN DIKENALI