Sorting by

×

MEKANIK PARAH MOTOSIKAL BERTEMBUNG DI SIMPANG TAMAN MAJU

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

JASIN 2 Jun – Seorang mekanik parah di bahagian kepala selepas motosikal ditunggangnya bertembung dengan sebuah lagi motosikal di persimpangan lampu isyarat Taman Maju, di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Lee Robert berkata, dalam kejadian kira-kira jam 6.45 petang itu, mangsa berusia 21 tahun yang menunggang motosikal Yamaha 135LC mengalami kecederaan parah di bahagian kepala serta luka-luka pada badan.

Menurutnya, seorang lagi penunggang motosikal Yamaha Y15ZR yang juga seorang anggota tentera berusia 26 tahun cedera ringan pada tangan dan kaki.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku di persimpangan empat lampu isyarat Taman Maju apabila kedua-dua motosikal terbabit bertembung di tengah jalan sehingga menyebabkan mangsa terseret ke bahu jalan.

“Akibat kemalangan itu, kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Jasin untuk menerima rawatan, dengan seorang daripadanya kini dirawat di Zon Merah hospital berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Lee berkata, siasatan turut mendapati kejadian dipercayai berpunca apabila anggota tentera tersebut dipercayai meneruskan perjalanan ketika lampu isyarat merah sebelum bertembung dengan mangsa.

Katanya, polis masih menjalankan siasatan lanjut termasuk mengesan saksi bebas dan mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari sebuah stesen minyak berhampiran lokasi kejadian.

“Semua kenderaan yang terlibat telah ditahan untuk pemeriksaan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

610
Kongsi :
Previous post PERCUTIAN DAMAI CUTI SEKOLAH DENGAN ECO CRUISE SUNGAI LINGGI
Next post WRUR BANTU MAIM KENAL PASTI KEPERLUAN BAHARU ASNAF