
WRUR BANDA HILIR: BANTUAN MAIM BANTU IBU TUNGGAL BANGKIT DARIPADA KEPAYAHAN
BANDA HILIR 3 Jun – Seorang ibu tunggal Norafizah Mohd Atan, 43, menzahirkan rasa terima kasih dan bersyukur terhadap bantuan yang disalurkan oleh Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) yang disifatkan banyak membantu meringankan beban kehidupannya dalam membesarkan anak-anak.
Norafizah yang bekerja sebagai pekerja pembersihan di sebuah syarikat swasta di Melaka Raya mempunyai enam orang anak dan tiga cucu, namun yang tinggal bersamanya hanya tiga anaknya sahaja yang masih bersekolah.
Katanya, bantuan bulanan yang diterima daripada MAIM banyak membantu dalam menampung keperluan harian serta perbelanjaan pendidikan anak-anaknya.
“Bantuan yang saya terima digunakan untuk makanan dan keperluan anak-anak, dengan adanya bantuan MAIM ini saya dapat menampung perbelanjaan sekolah seperti buku dan kelengkapan persekolahan mereka,” katanya yang turut menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Dia berkata demikian kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui di kediamannya di Rumah Pangsa Bandar Hilir pada Ziarah Kasih Asnaf MAIM sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Banda Hilir, di sini, semalam.
Ziarah kasih itu diketuai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bandar Hilir Leng Chau Yen dan turut bersama, Pengurus Baitulmal MAIM Mohd Hairulamin Mohd Sis serta Penolong Setiausaha Bahagian Balai Islam Nasir Wahab.
Kongsi Norafizah, dia pernah berdepan kesukaran hidup apabila kehilangan pekerjaan dan tidak menerima gaji akibat masalah yang dihadapi majikannya ketika itu.
Katanya, keadaan tersebut menyebabkan dia hampir tidak mampu menampung perbelanjaan asas termasuk bil utiliti yang hampir dipotong.
“Ketika itu saya berdepan kesukaran untuk meneruskan kehidupan, namun kemudian saya mendapatkan bantuan daripada MAIM selepas melalui proses permohonan yang ditetapkan, alhamdulillah, bantuan yang diberikan membolehkan saya kembali bangkit dan meneruskan kehidupan bersama anak-anak.
“Bantuan MAIM bukan sahaja membantu dari segi kewangan, malah memberi sinar harapan kepada golongan yang benar-benar memerlukan seperti kami dan terima kasih kepada MAIM atas segala bantuan yang diberikan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


