Sorting by

×

REMPEYEK KUACI ISTIMEWA KUALA SUNGGA

Masa Membaca:59 Saat

MACHAP JAYA 3 Jun – Bermula secara kecil-kecilan di rumahnya di Kampung Solok Batu Dinding, Kuala Sungga hampir 10 tahun lalu, seorang usahawan tempatan kini berjaya mengangkat produk rempeyek kuaci sehingga menembusi pasaran luar negara termasuk Singapura.

Pengusaha Mama Alyaa Enterprise, Asmah Misni, 45, berkata, perniagaan itu diasaskan daripada resepi ibunya dan dijalankan secara sambilan ketika mengusahakan kedai sarapan pagi di pekan kecil Kuala Sungga.

Katanya, idea menghasilkan rempeyek kuaci tercetus secara tidak langsung ketika membantu rakan yang menjual kuaci dalam kuantiti besar sebelum mengambil inisiatif menghasilkan variasi baharu rempeyeknya.

“Rempeyek kuaci ini pada saya agak istimewa kerana pada mula kita jual pun pelanggan suka dan memenuhi citarasa pembeli yang mahukan kelainan selain menerima sambutan menggalakkan.

“Permintaan terhadap rempeyek ini meningkat ketara terutama menjelang Aidilfitri sehingga mencecah ribuan balang bagi setiap tempahan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Mengulas lanjut, ibu seorang anak itu berkata, rempeyek air tangannya itu dihasilkan dalam empat variasi iaitu kacang tanah, dal, kacang hijau dan kuaci, dengan harga RM18 sebalang untuk ejen serta RM25 bagi jualan runcit.

Selain rempeyek, dia turut menghasilkan kerepek pisang dan kerepek ubi pelbagai perisa yang mendapat permintaan tinggi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

668
Kongsi :
Previous post CAJ PARKIR HOSPITAL BERMULA 1 JUN, MELAKA USAHA MOHON KADAR LEBIH RENDAH
Next post RIDER PENGHANTAR MAKANAN MENINGGAL DUNIA SELEPAS SEBULAN KEMALANGAN