
RANCAKKAN AKTIVITI UNTUK ANAK MUDA
MACHAP JAYA 3 Jun – Program-program untuk anak muda akan terus dirancakkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap Jaya sebagai sokongan untuk golongan belia terus berkembang dan dapat digilap potensinya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Machap Jaya Datuk Ngwe Hee Sem berkata, antara usaha dilakukannya adalah memperbanyakkan aktiviti digemari anak muda, khususnya dalam aktiviti sukan seperti e-sukan (e-sport).
Pada masa sama, katanya, program berkonsep santai bersama anak muda juga turut digerakkan dalam mendekati golongan itu yang bakal menjadi pewaris negara.
“Saya dapati program-program sukan seperti e-sport, liga penalti dan lain-lain memang mendapat tempat dalam kalangan anak muda di kawasan ini.
“Selain itu, kita juga mendekati mereka secara santai dengan aktiviti seperti barbeku dan busking dengan tumpuan adalah di kawasan yang mempunyai ramai golongan belia,” katanya kepada Melaka Hari Ini dalam wawancara khas sempena program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Machap Jaya.
Hee Sem yang juga Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri berkata, selain program, fasiliti sukan untuk anak muda turut diberi perhatian.
Katanya, sebagai pemimpin, beliau akan sentiasa memperjuang dan memohon kemudahan sukan terbaik supaya aktiviti komuniti khususnya anak muda terus hidup di Machap Jaya.
“Setakat ini, boleh dikatakan di kebanyakan kawasan ada memiliki padang bola, gelanggang futsal, badminton dan sepak takraw.
“Selain itu, kawasan riadah dan rekreasi juga turut dibangunkan, antaranya di Taman Ayer Pasir Perdana,” katanya lagi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


