Sorting by

×

SEMANGAT WRUR PERKUKUH PERPADUAN KOMUNITI

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

BANDA HILIR 5 Jun – Semangat perpaduan segenap lapisan masyarakat yang tinggal di dalam sesebuah komuniti dapat diterjemah menerusi Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) yang dianjurkan Kerajaan Negeri di semua Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan Negeri Datuk Ngwe Hee Sem berkata, perpaduan yang kukuh merupakan asas penting kepada kesejahteraan rakyat serta kemajuan sosioekonomi negeri khususnya dalam masyarakat berbilang kaum, agama dan budaya di Negeri Melaka.

Katanya, penganjuran WRUR selaras dengan aspirasi Kerajaan Negeri yang menekankan pendekatan turun padang dan penglibatan langsung rakyat dalam pembangunan komuniti setempat.

“Program WRUR ini bukan sahaja menjadi medium mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan penduduk, malah menghubungkan masyarakat dengan wakil rakyat serta agensi kerajaan menerusi pelbagai aktiviti yang memberi manfaat kepada komuniti.

“Semangat kebersamaan yang diterapkan menerusi program seperti ini penting bagi memastikan perpaduan terus diperkasa dan keharmonian yang dinikmati hari ini dapat dikekalkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Program Jalinan Mesra Perpaduan @KRT: Sepakat Membina Komuniti Sejahtera sempena WRUR Dewan Undangan Negeri (DUN) Banda Hilir di Pusat Komuniti KRT Rumah Awam Bandar Hilir, di sini, semalam.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bandar Hilir merangkap Timbalan Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Leng Chau Yen.

Mengulas lanjut, Hee Sem berkata, Kerajaan Negeri sentiasa memberi penekanan terhadap usaha memperkukuh perpaduan kerana ia merupakan tunjang kepada kestabilan sosial dan pembangunan negeri yang mampan.

Katanya, inisiatif yang digerakkan oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Melaka menerusi program itu membuktikan komitmen berterusan agensi berkenaan dalam menyemarakkan agenda perpaduan hingga ke peringkat akar umbi.

“Saya berharap seluruh jentera perpaduan serta masyarakat setempat terus mengambil bahagian secara aktif dalam program seumpama ini supaya usaha memperkukuh perpaduan dan kesejahteraan komuniti dapat direalisasikan secara menyeluruh.

“Kerjasama erat antara rakyat, pemimpin dan agensi kerajaan menerusi platform WRUR diyakini mampu melahirkan komuniti yang lebih harmoni, inklusif dan sejahtera selaras dengan aspirasi pembangunan negeri,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

427
Kongsi :
Previous post WRUR BANDA HILIR: MAIM PASTIKAN ASNAF LAYAK TIDAK TERCICIR
Next post MPHTJ TERUS CEMERLANG, CAPAI MARKAH 98.42 PERATUS BAGI PENILAIAN MURNINETS