
WARGA KASTAM MELAKA CERIAKAN MADRASAH TAHFIZ DARUL FALAH
JASIN 15 Jun – Semangat kesukarelawanan dan budaya prihatin terus disemarakkan warga Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Melaka menerusi pelaksanaan program komuniti yang memberi manfaat kepada pelajar Madrasah Tahfiz Al- Quran Darul Falah, Kampung Rim, pada Selasa lalu.
Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) itu dijayakan dengan kerjasama Japerun Rim bertujuan memupuk semangat untuk membantu dan meningkatkan keselesaan persekitaran pembelajaran di pusat tahfiz berkenaan.

Pengarah Kastam Negeri Melaka Roslan Yusoff berkata penglibatan pegawai dan kakitangan JKDM dalam program itu mencerminkan komitmen jabatan untuk terus mendekati masyarakat serta menyumbang kepada pembangunan komuniti setempat.
“Program ini bukan sekadar aktiviti kebajikan, malah menjadi medium untuk menyemai nilai sukarelawan, kerjasama dan semangat kebersamaan dalam kalangan warga JKDM dan masyarakat.
“Pada masa sama, ia dapat membantu mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih selesa dan kondusif untuk para pelajar tahfiz,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Program berkenaan telah disempurnakan oleh Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rim Datuk Khaidirah Abu Zahar.
Hadir sama Setiausaha Japerun Rim Zulkifli Khalil dan Pengetua Madrasah Tahfiz Darul Falah Nasrulhadi Jamaah.

Katanya, pada program itu peserta bergotong-royong membersihkan kawasan madrasah, mengecat bangunan serta melaksanakan kerja-kerja pembaikan terhadap beberapa kemudahan yang memerlukan perhatian.
“Selain menyumbang tenaga, kita turut menyampaikan sumbangan peralatan pejabat dan wang tunai hasil kutipan serta sumbangan pegawai-pegawai kastam bagi membantu pengurusan dan kebajikan madrasah ini.
“Saya harap sumbangan diberikan ini dapat membantu melancarkan urusan pentadbiran madrasah selain memberi manfaat kepada pelajar yang menuntut di pusat tahfiz tersebut,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


