
WRUR TELOK MAS: BUKAN SEKADAR BERHIBUR, TAPI SEMAI CINTA PADA WARISAN TRADISIONAL
TELOK MAS 15 Jun – Pertandingan sukan kampung yang dianjurkan bersempena Majlis Perasmian Pembukaan Program Ajak Sekampung Festival 2026 sempena Pembukaan Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas secara tidak langsung memupuk perasaan cinta terhadap warisan, seni dan budaya tradisional Melaka.
Bagi orang muda Mohd Rashad Danish Mohd Rizuan Tan, 17, dia hadir ke program itu bukan sekadar untuk beriadah tetapi merasai kemeriahan dan gelagat peserta yang mengambil bahagian dalam pelbagai jenis pertandingan sukan kampung atau sukan tradisional yang dianjurkan.
Katanya, meskipun permainan berkenaan tidak asing bagi dirinya namun usaha untuk terus mempromosikannya perlu dilakukan secara lebih agresif agar terus mendapat tempat khusus dalam kalangan orang muda.
“Sekarang ini ramai yang menghabiskan masa bermain gajet yang secara tidak langsung menghakis minat terhadap sukan tradisional kita. Sesekali ambil bahagian dalam pertandingan larian berkembar mengimbau semula memori ketika saya kecil dahulu.
“Program ini memang meriah habis memang dekat dengan orang muda dan wajar untuk diteruskan lagi kerana ini adalah usaha yang mengeratkan lagi perpaduan pelbagai kaum,” katanya kepada Melaka hari ini ketika ditemui di tapak program berkenaan di Padang Bola Sepak Taman Seri Telok Emas, di sini, semalam.
Antara sukan tradisional yang dipertandingkan adalah baling selipar, larian berkembar, konda kondi, dan aji, karom, sepak raga bulatan, tarik tali dan paling mencuri tumpuan adalah memanjat tiang licin.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


