Sorting by

×

WRUR TELOK MAS: ASAM PEDAS SIMBOL PERPADUAN BUDAYA MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

TELOK MAS 15 Jun – Kehadiran dua wanita berketurunan India ini menambahkan lagi pertandingan memasak yang dianjurkan bersempena Majlis Perasmian Pembukaan Program Ajak Sekampung Festival 2026 sempena Pembukaan Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas di Padang Bola Taman Seri Telok Emas, di sini, semalam.

6156701238339243816

SHARLINI.

J.K Sharlini, 40, dari Taman Seri Teluk Emas berkata, pada pertandingan itu dia mempertaruhkan masakan asam pedas ikan tenggiri yang menjadi menu kegemarannya  dan keluarga.

Penulis sambilan ini berkata, masakan Melayu seperti asam pedas, masak lemak dan nasi goreng kampung tidak lagi asing buat suami dan empat anaknya.

“Seminggu empat hingga lima kali saya akan masak hidangan berkenaan, selain itu stok sambal belacan mesti ada di rumah kerana itu melengkapkan hidangan harian saya. Sebenarnya minat yang terarah kepada menu ini adalah hasil pergaulan saya bersama jiran kerana membesar di perkampungan yang majoritinya orang Melayu.

“Sejak usia 10 tahun saya sudah biasa menjamah masakan Melayu kerana ketika itu kita kerap bertukar-tukar hidangan dalam kalangan jiran. Jadi peluang yang ada saya guna untuk belajar memasak makanan Melayu, rahsia utama menjadikan hidangan enak adalah ‘kasih sayang’ dan keikhlasan.

“Menyentuh mengenai pertandingan ini pula bagi saya ia amat bagus, rakyat Melaka tanpa mengira jantina atau bangsa semua boleh ambil bahagian, secara tidak langsung WRUR ini menjadi medan mengeratkan perpaduan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

6156701238339243818

PADMANI.

Sementara itu rakannya A Padmani, 40, berkata masakan Melayu menjadi pilihan keluarganya sejak lebih 30 tahun lalu dengan hidangan seperti masak lemak cili padi menjadi kegemaran mereka.

“Hidangan lain yang saya suka adalah asam pedas dan kuah kacang, pada pertandingan kali ini saya sediakan lauk kari ikan tenggiri.

“Program seperti ini amat bagus kerana ia adalah medan perpaduan, jika boleh anjurkan dua kali setahun jadi kami ada pentas untuk terus mengambil bahagian dalam pertandingan masakan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

513
Kongsi :
Previous post CUTI SEKOLAH: MENARA TAMING SARI DIBANJIRI PELANCONG, REKOD 1,154 ‘RIDES’
Next post WRUR TELOK MAS: BUKAN SEKADAR BERHIBUR, TAPI SEMAI CINTA PADA WARISAN TRADISIONAL