
CUTI SEKOLAH: MENARA TAMING SARI DIBANJIRI PELANCONG, REKOD 1,154 ‘RIDES’
BANDA HILIR 15 Jun – Menara Taming Sari terus menjadi antara destinasi pelancongan pilihan apabila merekodkan sebanyak 1,154 perjalanan (rides) sepanjang musim cuti persekolahan yang berlangsung dari 22 Mei hingga 7 Jun lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Menara Taming Sari Berhad (MTSB), Nur Azan Hassan berkata pencapaian itu didorong oleh pelbagai aktiviti dan program sampingan yang diadakan sepanjang tempoh tersebut, sekali gus berjaya menarik lebih ramai pengunjung ke mercu tanda pelancongan ikonik negeri itu.
Menurut beliau, selain program Melaka Bila Larut Malam yang mendapat sambutan menggalakkan, beberapa aktiviti kekeluargaan lain turut menyumbang kepada peningkatan jumlah pengunjung.
“Sepanjang tempoh cuti sekolah ini, Menara Taming Sari bukan sahaja menerima kunjungan pelancong yang ingin menikmati panorama Bandaraya Melaka dari udara, malah kami turut menganjurkan beberapa program sampingan yang berjaya menarik kehadiran pengunjung.
“Antaranya termasuk program Malaysian Cookies sempena kempen Visit Malaysia 2026 (VMY2026), selain aktiviti mewarna beg anyaman dan ‘Soopa Doopa’ yang mendapat sambutan hebat daripada keluarga dan kanak-kanak,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Nur Azan berkata, tarikan baharu seperti Menara Taming Sari Sunset View juga semakin mendapat perhatian pengunjung yang mahu menikmati pemandangan matahari terbenam dari lokasi strategik di bandar bersejarah itu.
“Ramai pengunjung memilih untuk datang pada waktu petang bagi menyaksikan sendiri keindahan matahari terbenam di Melaka yang sememangnya unik dan menjadi antara tarikan tersendiri di Menara Taming Sari.
“Kami amat menghargai sokongan yang diberikan oleh semua pengunjung dan akan terus memperkenalkan pelbagai program menarik bagi memastikan Menara Taming Sari kekal sebagai destinasi pilihan pelancong tempatan serta antarabangsa,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


