Sorting by

×

NILAI PERPADUAN BENTUK ALLEX JADI PEMIMPIN

Masa Membaca:2 Minit, 37 Saat

KESIDANG 15 Jun – Dibesarkan dalam keluarga sederhana di Kampung Rim, Jasin, Allex Seah Shoo Chin atau lebih mesra disapa Allex, membuktikan nilai perpaduan dan keharmonian kaum yang diamalkan sejak kecil menjadi asas penting dalam membentuk dirinya menjadi seorang pemimpin.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kesidang itu, nilai itu diasuh bapanya yang sangat dikenali di Jasin sebagai ‘Panjang’, iaitu seorang tukang rumah selama 30 tahun dan mempunyai ramai pelanggan yang majoritinya berbangsa Melayu.

Katanya, sejak kecil beliau sering mengikuti bapanya ke rumah pelanggan dan membantu melakukan pelbagai kerja, sekali gus memberi peluang untuk memahami budaya serta cara hidup masyarakat berbilang kaum.

“Saya dibesarkan dalam suasana yang sangat harmoni. Pelanggan pertama ayah saya adalah seorang Melayu dan sehingga hari ini hubungan itu masih erat.

“Setiap Tahun Baharu Cina beliau akan datang menziarahi keluarga kami, manakala setiap kali Hari Raya, ayah saya pula akan menghantar buah tangan kepadanya. Bagi saya, itulah contoh perpaduan yang sebenar,” katanya dalam wawancara khas bersama Melaka Hari Ini.

Selain memahami budaya dan cara hidup, Allex berkata, bapanya turut menitikberatkan penguasaan Bahasa Melayu dan sentiasa menggalakkannya bergaul dengan masyarakat pelbagai kaum bagi meningkatkan kemahiran komunikasi.

Katanya, sejak di bangku sekolah, membaca akhbar menjadi antara rutinnya setiap hari, di mana ruangan politik dan pembangunan negara menjadi antara yang diminatinya.

“Daripada itu, minat saya terhadap politik mula berputik dengan memahami isu semasa dan perkembangan yang berlaku dalam negara. Sedikit demi sedikit minat itu semakin mendalam,” katanya.

Peluang bergiat aktif dalam politik hadir pada tahun 2013 apabila beberapa kenalan bapanya di Jasin mencadangkan penubuhan sebuah cawangan parti di kawasan berkenaan.

“Pada hari pertama saya menyertai parti, saya terus diberi tanggungjawab sebagai ketua cawangan. Ketika itu saya mula terlibat secara aktif dalam pelbagai program termasuk kempen dan ceramah politik,” katanya.

Namun, perjalanannya dalam dunia politik tidaklah indah-indah belaka, apabila beliau terpaksa melupakan kerjaya sebagai seorang jurutera teknologi maklumat (IT) dan perunding IT bagi memberi tumpuan kepada perjuangan politik dan berkhidmat kepada rakyat.

Kongsi Allex, dirinya pernah bekerja sebagai pemandu e-hailling selain mengambil projek pengaturcaraan secara sambilan dari rumah bagi menyara keluarga pada ketika itu.

“Ketika itu saya mempunyai tiga orang anak. Anak saya pernah memberitahu gurunya bahawa ayahnya seorang pemandu Grab. Bagi saya tiada apa yang perlu dimalukan kerana pekerjaan itu memberi peluang untuk saya mendekati masyarakat dan mendengar sendiri suara rakyat, malah isteri saya juga banyak memberi sokongan,” katanya.

Pengorbanan yang dilakukan itu akhirnya terbalas apabila beliau dipilih sebagai calon pada 2018 dan memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kesidang.

Kini, beliau telah diberi mandat selama dua penggal sebagai wakil rakyat di kawasan yang mempunyai lebih 54,000 pengundi dan baginya ia merupakan satu amanah dan tanggungjawab besar yang digalas dengan sebaiknya demi menjaga kepentingan masyarakat berbilang kaum.

Tambahan pula, Kesidang merupakan antara kawasan dengan populasi masyarakat Cina paling ramai di Melaka, selain turut berada dalam kelompok lima kawasan yang mempunyai jumlah penduduk Melayu dan India tertinggi di negeri ini.

“Sebagai wakil rakyat, saya perlu memastikan semua kaum mendapat perhatian yang sama rata. Kita perlu sentiasa berlaku adil, menjaga sensitiviti semua pihak dan memastikan setiap lapisan masyarakat mendapat manfaat daripada pembangunan yang dilaksanakan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1231
Kongsi :
Previous post WARGA KASTAM MELAKA CERIAKAN MADRASAH TAHFIZ DARUL FALAH
Next post WRUR TELOK MAS: MEDIUM UNTUK SEMUA GENERASI TUNJUK BAKAT