Sorting by

×

KONSEP ‘GLAMPING’ BAKAL DIPERKENALKAN DI TASIK CHIN CHIN

Masa Membaca:1 Minit, 5 Saat

AYER KEROH 28 Jun – Taman Ekstrem Tasik Chin Chin (TETC) bakal dinaik taraf menerusi pelbagai penambahbaikan termasuk pengenalan konsep penginapan berasaskan alam semula jadi bagi menarik lebih ramai pengunjung.

Pengurus Besar Perbadanan Ketua Menteri (CMI) Datuk Ahmad Azlan Ahmad Salleh berkata, antara perancangan utama yang sedang digerakkan ketika ini ialah pembangunan ‘glamping camp’ di kawasan TETC yang kini berada di peringkat awal pelaksanaan.

“Kerja-kerja awalan termasuk penyediaan tapak, kerja tanah serta pelarasan susun atur kawasan sedang dijalankan bagi memastikan konsep ‘glamping’ dapat dibangunkan secara lebih tersusun dan selesa untuk pengunjung.

“Tasik Chin Chin ini dalam perancangan untuk dinaik taraf menerusi pengenalan konsep glamping. Ketika ini, kerja-kerja awalan sedang dijalankan bagi penyediaan kawasan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas Program Ceramah Perdana anjuran bersama CMI Infra sempena Sambutan Maal Hijrah 1448H bertajuk ‘Membentuk Warga Kerja Berakhlak Tinggi’ yang disampaikan Ustaz Syamsul Debat di Auditorium Kompleks CMI, di sini, pada Jumaat.

Dalam pada itu, Ahmad Azlan berkata, CMI turut menaik taraf kemudahan sedia ada di taman tema air TETC termasuk kolam, selain menambah tarikan baharu seperti gelongsor air.

“Usaha penambahbaikan ini bukan sahaja memberi keselesaan kepada pengunjung, malah turut menambah elemen tarikan baharu supaya taman tema ini lebih menarik dan mesra keluarga,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

313
Kongsi :
Previous post MPJ PRIHATIN: ‘KINI SAYA BOLEH TIDUR LENA’
Next post PAMA: MELAKA PERKUKUH AGENDA PENDIDIKAN, BANTU PELAJAR TERCICIR