Sorting by

×

MELAKA PERUNTUK RM4.41 JUTA PERKASA PROGRAM PEMULIHAN OKU

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

SERKAM 28 Jun – Kerajaan Negeri menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memperuntukkan RM4.41 juta bagi menyokong pelaksanaan Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) di seluruh negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, langkah itu memberi manfaat kepada lebih 500 peserta Orang Kurang Upaya (OKU).

Katanya, sehingga kini terdapat 18 PDK di seluruh negeri yang disokong oleh 95 petugas dalam membantu golongan OKU menjalani latihan, pemulihan dan pembangunan potensi.

“Sebanyak RM166,000 disalurkan khas buat PDK Nur Ehsan Serkam bagi menampung operasi serta keperluan pusat ini.

“Saya difahamkan, pusat yang berpindah dari Taman Pulai Indah, Merlimau ke lokasi baharu di Serkam kini menempatkan 21 pelatih sejak mula beroperasi pada Mei 2025.

“Saya berharap kemudahan ini terus menjadi pemangkin melahirkan lebih ramai OKU yang mampu berdikari dan menyumbang kepada masyarakat,” katanya ketika berucap menyempurnakan Majlis Perasmian Fasiliti Komuniti sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Serkam, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem serta Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Serkam Datuk Zaidi Attan.

Turut hadir, Pegawai Daerah Jasin Datuk Rahizi Ranom; Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan Melaka (LPM) Datuk TPr. Murad Husin serta kenamaan lain.

Dalam pada itu, Ab Rauf berkata, WRUR DUN Serkam yang memasuki siri ke-21 itu terus menjadi medium berkesan dalam memastikan setiap keperluan rakyat diterjemahkan kepada tindakan serta penyelesaian yang memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat.

Tambahnya, penyediaan Pusat Rehabilitasi dan Gimnasium Komuniti, Perkhidmatan Lokar Ubat serta Program PDK Nur Ehsan membuktikan komitmen Kerajaan Negeri dalam menyediakan perkhidmatan yang lebih dekat dengan rakyat.

“Kerajaan Negeri akan terus memperkukuhkan pelbagai program berteraskan agenda Melaka Sayang Rakyat (MeSRa), Demi Rakyat, Untuk Rakyat bagi memastikan tiada rakyat yang tercicir daripada menikmati manfaat pembangunan negeri.

“Kita bukan sekadar merasmikan bangunan atau kemudahan baharu, tetapi menyaksikan bagaimana suara rakyat diterjemahkan kepada tindakan dan akhirnya kembali memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

417
Kongsi :
Previous post 360 CALON SPM MELAKA NIKMATI TUISYEN MATEMATIK TAMBAHAN PERCUMA
Next post 1,000 PESERTA MERIAHKAN KARNIVAL CERIA SIMPAN SSPN