
PENGLIBATAN JBPM DI PBT LANCARKAN URUSAN PEMBANGUNAN MELAKA
PAYA RUMPUT 29 Jun – Keputusan Kerajaan Negeri menempatkan wakil Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sebagai ahli majlis di semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) menunjukkan impak positif dalam mempercepatkan proses kelulusan pembangunan di Melaka.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, penglibatan pihak bomba sejak dari peringkat awal membolehkan aspek keselamatan dinilai lebih awal, sekali gus mengurangkan kerenah birokrasi yang sebelum ini memerlukan sesuatu permohonan dirujuk kepada JBPM selepas melalui proses di PBT.
Menurutnya, pendekatan itu memberi ruang kepada JBPM untuk terus mengemukakan pandangan dan nasihat teknikal semasa proses perbincangan berlangsung, sekali gus mempercepatkan urusan kelulusan.
“Kalau dahulu selepas PBT selesai barulah dihantar kepada bomba untuk semakan, kini wakil bomba sudah berada di meja mesyuarat sejak awal lagi.
“Mereka boleh terus memberi pandangan dan nasihat bagaimana sesuatu permohonan itu boleh dipercepatkan tanpa menjejaskan aspek keselamatan. Inilah antara pendekatan dalam gagasan Melaka Sayang Rakyat (MeSRa),” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia Peringkat Negeri Melaka 2026 di balai berkenaan di sini, hari ini.
Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Datuk Dr. M. Noor Azman Taib yang mewakili Timbalan Menteri KPKT; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Zulkiflee Mohd Zin.
Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Seri Ts. Nor Hisham Mohammad serta Pengarah JBPM Negeri Melaka, Penolong Pesuruhjaya Bomba Mohd Zaidi Ma’at.
Ab Rauf berkata, kesemua empat PBT di negeri ini iaitu Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) dan Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) telah melaksanakan pendekatan itu sejak lebih setahun lalu.
“Melaka merupakan negeri pertama melaksanakan inisiatif ini, sekali gus membuktikan komitmen Kerajaan Negeri dalam memperkukuh kerjasama strategik antara PBT dan JBPM,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


