Sorting by

×

SOKONGAN MAIM BELA KEHIDUPAN ASNAF MUALAF

Masa Membaca:1 Minit, 4 Saat

AYER MOLEK 29 Jun – Sokongan berterusan daripada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) terbukti menjadi talian hayat penting bagi golongan mualaf untuk terus cekal mendalami keindahan Islam.

Bagi Muhammad Ridzuan Suppiah, 39, bantuan yang diterima sejak beliau memeluk Islam pada tahun 2017 bukan sekadar meringankan beban kewangan, malah menjadi pemacu semangat buat keluarganya.

Bapa kepada enam cahaya mata itu mengakui kehidupan sebagai mualaf penuh dengan cabaran, terutamanya dalam aspek penyesuaian diri dan keperluan sokongan emosi.

“Sehingga kini, saya dan anak-anak masih aktif menghadiri kelas pengajian di Balai Islam MAIM. Pada masa yang sama, saya menyara keluarga dengan bekerja sebagai pekerja landskap bebas.

“Kami sangat bersyukur kerana sentiasa didampingi oleh insan-insan yang prihatin. MAIM dan pihak Balai Islam amat banyak membantu kami sekeluarga,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Terdahulu, kehidupan Muhammad Ridzuan dan keluarga mendapat perhatian kepimpinan negeri menerusi program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR).

Keluarga tersebut telah menerima kunjungan daripada MAIM yang diketuai Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Molek, Datuk Rahmad Mariman.

Kunjungan itu diadakan menerusi ziarah kasih ke atas keluarga asnaf dan mualaf bagi mendapatkan maklumat mengenai keperluan sebenar mereka, selain turut menyampaikan sumbangan keperluan asas bagi meringankan beban penerima.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

419
Kongsi :
Previous post JELAJAH KETUA MENTERI SAYANG RAKYAT BERI LEBIH IMPAK UNTUK ORANG MELAKA
Next post BOMBA BUKA 560 KEKOSONGAN JAWATAN