
JELAJAH KETUA MENTERI SAYANG RAKYAT BERI LEBIH IMPAK UNTUK ORANG MELAKA
SERKAM 29 Jun – Penganjuran siri Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat bermula 5 Julai depan akan memberikan impak lebih berkesan terutama berhubung aspek penyelesaian masalah di semua 28 Dewan Undangan Negeri (DUN) seluruh Melaka.
Pengerusi Penyelaras Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, bersempena jelajah itu Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh akan turun ke dua DUN sehari bagi mendekati dan menyantuni rakyat dalam tempoh sehari.
“Jelajah ini antaranya menyasarkan ‘follow up’ kembali aduan-aduan diterima semasa Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) yang telah dilaksanakan, Ketua Menteri mahu lihat sendiri kualiti aduan diselesaikan.
“Selain itu antara intipati program adalah untuk menyantuni rakyat dengan pelbagai pengisian lain seperti ziarah kebajikan, ziarah usahawan, penyampaian bantuan, aktiviti sukan rakyat dan banyak lagi,” katanya.
Beliau yang juga Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri berkata demikian ketika ditemui pada Hari Aduan Rakyat DUN Serkam Sempena Program WRUR DUN Serkam yang berlangsung di Japerun Serkam, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem; Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin, Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Serkam Datuk Zaidi Attan serta Pegawai Daerah Jasin Datuk Rahizi Ranom.
Menurut Fairul Nizam, menariknya Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat memberi peluang kepada setiap Japerun dan Adun menentukan pengisian program yang bersesuaian bagi memastikan manfaatnya dapat dirasai oleh pelbagai lapisan masyarakat di kawasan masing-masing.
“Terpulang kepada Japerun atau Adun terlibat bagaimana untuk berkarya namun ia perlu mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan supaya sampai objektif sebenar pelaksanaan Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


