
RESORT RM18 JUTA BAKAL UBAH WAJAH PELANCONGAN UMBAI
SERKAM 29 Jun – Pembangunan sebuah pusat peranginan baharu bernilai RM18 juta dijangka menjadi pemangkin baharu kepada sektor pelancongan pesisir pantai Melaka dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Serkam menjelang Ogos tahun hadapan.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pusat peranginan yang diberi nama Maya Resort itu bakal mewujudkan lebih 200 peluang pekerjaan selain merancakkan ekonomi komuniti setempat.
Katanya, projek yang akan dibangunkan di kawasan seluas 3.7 hektar itu membuktikan keyakinan pelabur terhadap potensi Melaka sebagai destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa.
“Pembangunan resort ini selari dengan usaha berterusan Kerajaan Negeri memperluaskan produk pelancongan ke kawasan berpotensi supaya limpahan ekonomi tidak hanya tertumpu di bandar sebaliknya turut dinikmati masyarakat luar bandar dan pesisir.
“Kerajaan Negeri akan terus memperluaskan pembangunan produk pelancongan ke kawasan seperti Umbai bagi memastikan manfaat ekonomi dapat dirasai secara menyeluruh oleh rakyat.
“Resort ini dijadualkan siap pada Ogos 2027 dan bakal menawarkan 15 unit vila, 68 unit bilik studio, dewan serbaguna, kolam renang serta pelbagai kemudahan pelancongan bagi memenuhi permintaan pelancong domestik dan antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap seterusnya menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Pusat Peranginan Maya Resort Umbai, di sini, hari ini.
Hadir sama, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman; Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Serkam Datuk Zaidi Attan; Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri Datuk Khaidhirah Abu Zahar dan Timbalan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Low Chee Leong.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Melaka (MCORP) Datuk Mohd Yusof Abu Bakar; Pegawai Daerah Jasin Datuk Rahizi Ranom; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) Muhammad Zahiruddin Mohd Zahari dan Pengarah Urusan Razimar (M) Sdn Bhd serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berharap pembangunan pembangunan pusat peranginan itu dapat dilaksanakan mengikut jadual, selain mematuhi semua syarat yang ditetapkan serta mengutamakan aspek kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan masyarakat setempat.
“Insya-Allah dengan kerjasama semua pihak projek ini bukan sahaja mampu merancakkan ekonomi negeri malah membawa limpahan manfaat yang lebih besar kepada rakyat Melaka,”katanya.
Dalam pada itu, Ketua Menteri memaklumkan setakat Januari hingga Mei tahun ini, Melaka telah merekodkan kehadiran lebih enam juta pelancong dengan anggaran sumbangan RM6.24 bilion kepada ekonomi negeri.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


