Sorting by

×

BOMBA BUKA 560 KEKOSONGAN JAWATAN

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

PAYA RUMPUT 29 Jun – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) kini dalam proses membuka perjawatan baharu bagi mengisi kira-kira 1,900 kekosongan di seluruh negara.

Ketua Pengarah JBPM Datuk Seri Ts. Nor Hisham Mohammad berkata, keputusan itu adalah susulan kelulusan sebanyak 560 perjawatan daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan (MOF).

Menurutnya, daripada jumlah tersebut 38 jawatan diisi melalui senarai simpanan bagi jawatan kanan manakala baki 522 jawatan akan diiklankan secara terbuka.

“Pengambilan ini akan menggunakan bank calon Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) bagi membolehkan proses pengisian dibuat pada awal tahun depan. Ia merupakan pengisian semula kekosongan sedia ada di seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Balai Bomba dan Penyelamat Cheng yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Datuk Dr. M Noor Azman Taib yang mewakili Timbalan Menteri KPKT; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Timbalan Exco Datuk Zulkiflee Mohd Zin serta Pengarah JBPM Melaka, Penolong Pesuruhjaya Bomba Mohd Zaidi Ma’at.

Tambahnya, JBPM pada masa ini berdepan kekosongan jawatan yang perlu segera diisi bagi memastikan kelancaran operasi di semua peringkat.

“Kita akan terus memohon penambahan perjawatan dari semasa ke semasa selaras dengan keperluan operasi, khususnya apabila balai baharu siap dibina di seluruh negara,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

756
Kongsi :
Previous post SOKONGAN MAIM BELA KEHIDUPAN ASNAF MUALAF