
WRUR SERKAM: LEBIH 100 ADUAN RAKYAT AKAN DISELESAIKAN
SERKAM 30 Jun – Sebanyak 53 aduan diterima pada Hari Aduan Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Serkam bersempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Serkam di Japerun Serkam, di sini, semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Serkam Datuk Zaidi Attan berkata, sebagai langkah proaktif pihaknya melaksanakan sudah inisiatif pra-WRUR pada Ogos tahun lalu dan berjaya mengumpul sebanyak 53 aduan melibatkan pelbagai perkara.
“Sebahagian besar aduan diterima semasa penganjuran pra-WRUR melibatkan isu permohonan dan 30 peratus daripada apa yang disuarakan kita sudah berjaya selesaikan. Secara keseluruhan kita menerima 106 aduan bagi pra-WRUR dan WRUR,” katanya ketika ditemui pada Hari Aduan Rakyat DUN Serkam Sempena Program WRUR DUN Serkam di Japerun Serkam, di sini, semalam.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad, Pengerusi Penyelaras WRUR Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem; Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin serta Pegawai Daerah Jasin Datuk Rahizi Ranom.
Zaidi yang juga Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri berkata, WRUR membuktikan komitmen Kerajaan Negeri dalam memastikan setiap isu rakyat diberi perhatian serta diselesaikan secara berperingkat melalui kerjasama pelbagai jabatan dan agensi.
“Pastinya kita mahu menyelesaikan setiap aduan dalam tempoh segera namun bagi isu membabitkan kos tinggi atau memerlukan peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan, ia memerlukan sedikit masa sebelum dapat dilaksanakan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


