
RUMAH MAMPU MILIK DI MELAKA LARIS – LPM
SERI NEGERI 8 Julai – Rumah Mampu Milik (RMM) di negeri ini terus mendapat permintaan tinggi apabila kebanyakan projek yang dibangunkan laris dan habis dijual.
Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan Melaka (LPM) Datuk TPr. Murad Husin berkata, ia sekali gus menunjukkan bahawa projek perumahan di negeri ini kekal pada harga terendah berbanding negeri-negeri lain.
Beliau memaklumkan, berdasar laporan Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) sebanyak 2,000 unit rumah tidak terjual di negeri ini, di mana ia bukanlah membabitkan perumahan mampu milik sebaliknya, rumah bebas atau kediaman bernilai tinggi.
“RMM secara umumnya telah habis dijual di Melaka, kebanyakan yang belum terjual ini adalah rumah mewah namun ia bukan tiada pembeli cuma memerlukan masa untuk dipasarkan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Menandatangani Perjanjian Pembangunan Rumah Mampu Milik antara LPM dan Skywiz Realty Sdn. Bhd yang disaksikan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Bilik Tun Bijasura, di sini, semalam.
Mengulas lanjut, TPr. Murad berkata, Melaka tidak mengalami isu seperti di negeri lain yang mempunyai lambakan rumah tidak terjual berikutan pasaran harga tanah yang tinggi.
Jelasnya, harga purata rumah di negeri ini antara yang terendah dalam Malaysia iaitu sekitar RM255,000 berbanding purata nasional iaitu melebihi RM500,000.
“Faktor ini menjadikan Melaka antara negeri terbaik untuk rakyat memiliki rumah sendiri, selain Kerajaan Negeri yang komited untuk terus memberi keutamaan kepada pemohon yang belum mempunyai kediaman.
“Di Melaka kita mahu setiap keluarga mempunyai rumah sendiri, jadi saya harap rakyat negeri ini yang belum memiliki rumah boleh memohon bagi skim rumah pertama,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


