
ORANG BEMBAN SEDIA SAMBUT JELAJAH KETUA MENTERI SAYANG RAKYAT
BEMBAN 8 Julai – Persiapan bagi siri Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban yang akan berlangsung esok (Khamis) sudah di peringkat akhir dengan pengisian yang memberi fokus kepada pendekatan menyantuni rakyat dan memperkukuh kebajikan komuniti.
Penyelaras DUN Bemban Mohd Raziff Yakop berkata, siri jelajah edisi kedua itu disusun bagi memperkukuh hubungan antara kepimpinan negeri dengan rakyat melalui pendekatan turun padang dan menyelami sendiri keperluan masyarakat.
“Untuk Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat ini persiapan di pihak Japerun bersama agensi berkaitan sudah di peringkat akhir, di mana tumpuan utama akan diberikan kepada menyantuni golongan asnaf, keluarga yang kurang berkemampuan dan mereka yang diuji dengan masalah kesihatan.
“Selain itu, Ketua Menteri juga akan meluangkan masa berjumpa dan menyantuni
usahawan kecil, penternak serta petani yang mana menerusi pendekatan ini ia membolehkan Kerajaan Negeri mendengar sendiri pandangan, cadangan dan keperluan mereka,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Mohd Raziff berkata, kehadiran Ketua Menteri ke DUN Bemban sempena Program Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat pastinya amat dinantikan penduduk kerana ia mencerminkan keprihatinan Kerajaan Negeri dalam mendekati rakyat di peringkat akar umbi.
“Malah pendekatan ini turut memberi peluang kepada masyarakat untuk berinteraksi dengan lebih dekat dan secara terus berhubung perkara berbangkit.
“Jika tahun lalu sempena program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) tumpuan kita kepada aduan-aduan kritikal seperti banjir tetapi untuk siri jelajah ini fokus kepada menyantuni rakyat,” katanya.
Jelasnya, di peringkat Japerun Bemban, segala persiapan dilakukan sehabis baik kerana mahu memastikan seluruh lapisan masyarakat mendapat manfaat daripada siri jelajah tersebut.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

