Sorting by

×

TEATER MUZIKAL QAIS DAN LAILA GAMIT PEMINAT INDUSTRI KREATIF KE MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

BANDARAYA MELAKA 8 Julai – Kerajaan Negeri sentiasa menyokong penganjuran program melibatkan kesenian dan budaya yang bukan sahaja memartabatkan warisan malah mampu menggamit kehadiran pelancong ke Melaka.

Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata, penganjur pelbagai program, termasuk pementasan teater muzikal ‘Qais dan Laila’ yang dianjurkan Pertubuhan Teater Negeri Melaka (PERTEM) juga dilihat mampu menjadi antara produk pelancongan unik yang wajar diketengahkan.

Katanya, pementasan teater itu turut mendapat sokongan daripada Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) negeri serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) yang dijadual dipentaskan pada 25 Julai ini di Panggung Bangsawan.

“Kerajaan Negeri sentiasa memberi sokongan untuk pelaksanaan program yang mengangkat nilai-nilai warisan untuk dilaksanakan di negeri ini kerana usaha ini dapat memperkukuh ekosistem industri kreatif selain memberi ruang kepada bakat tempatan menghasilkan karya bertaraf tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media Teater Muzikal Qais dan Laila di Panggung Bangsawan baru-baru ini.

Hadir sama, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin; Presiden PERTEM Lokman Abd Ghani serta kenamaan lain.

Pementasan teater muzikal tersebut mengangkat kisah cinta agung Qais dan Laila menggabungkan elemen drama, muzik, puisi dan komedi selain mengetengahkan nilai kemanusiaan serta spiritual menerusi olahan lebih segar dan kontemporari.

Pementasan eksklusif satu malam itu menampilkan bakat baharu selain dibantu pelakon tersohor seperti Datuk Jalaluddin Hassan, Raja Ema dan Ashraf Muslim.

Orang ramai yang ingin menyaksikan pementasan teater muzikal tersebut boleh mendapatkan tiket menerusi platform Ticket2u.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

430
Kongsi :
Previous post ORANG BEMBAN SEDIA SAMBUT JELAJAH KETUA MENTERI SAYANG RAKYAT