Sorting by

×

TOK RAUF TURUN PADANG PANTAU PERKEMBANGAN PROJEK BALAI NELAYAN BAHARU PASIR GEMBUR

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

TANJUNG BIDARA 8 Julai – Perkembangan berhubung pembangunan projek balai nelayan baharu untuk faedah komuniti nelayan di Pasir Gembur, Tanjung Bidara, Masjid Tanah sentiasa dipantau oleh Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Ketua Menteri berkata, perkara itu adalah selaras dengan gagasan Melaka Sayang Rakyat (MeSRa) yang bukan sekadar slogan, tetapi komitmen yang diterjemahkan melalui tindakan, penyelesaian dan keputusan yang memberi manfaat kepada rakyat.

“Pagi ini saya tidak sekadar singgah bersarapan tetapi turut menyantuni masyarakat dan komuniti nelayan di Pasir Gembur. Lebih penting saya turun sendiri meneliti perkembangan projek balai nelayan baharu serta mendengar secara terus pelbagai isu dihadapi penduduk setempat agar setiap permasalahan dapat diselesaikan dengan tindakan yang tepat dan berkesan.

“Bagi memastikan perancangan berjalan lancar, saya turut memanggil wakil Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) serta agensi berkaitan untuk duduk semeja membentangkan status semasa projek dan menyelaras tindakan susulan demi kepentingan komuniti nelayan.

“Antara keputusan dipersetujui ialah JPS diarahkan melaksanakan kajian kebolehlaksanaan bagi kerja-kerja mendalamkan laluan keluar masuk bot nelayan dari Pasir Gembur hingga Batu Tenggek. JKR diminta menyediakan tapak balai nelayan baharu pada aras yang lebih sesuai bagi mengurangkan risiko limpahan air laut dan banjir ketika fenomena air pasang besar,” kata Ketua Menteri menerusi hantaran di Facebook rasmi beliau.

Ab Rauf yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara berkata, Kerajaan Negeri juga menetapkan tiada lagi binaan persendirian atau swasta dibenarkan di kawasan struktur penahan ombak di pesisir pantai.

“Semua binaan dalam kawasan rizab pantai hendaklah mendapatkan Lesen Pendudukan Sementara (LPS) daripada Pentadbir Tanah serta mendapat ulasan daripada jabatan teknikal berkaitan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

518
Kongsi :
Previous post TEATER MUZIKAL QAIS DAN LAILA GAMIT PEMINAT INDUSTRI KREATIF KE MELAKA
Next post BUMBUNG BAHARU, BANTUAN BERMAKNA BUAT NELAYAN JAGA ISTERI HIDAP KANSER