
BUMBUNG BAHARU, BANTUAN BERMAKNA BUAT NELAYAN JAGA ISTERI HIDAP KANSER
SUNGAI RAMBAI 8 Julai – Di sebalik senyuman yang terukir, tersimpan kisah perjuangan hidup seorang nelayan yang bukan sahaja berdepan kesukaran menyediakan keperluan keluarga, malah diuji apabila isterinya menghidap kanser usus tahap empat.
Namun bagi Azni Seman, 52, bantuan baik pulih rumah yang diterimanya menerusi Program Pembasmian Kemiskinan Bandar (PPKB) memberi sedikit kelegaan dan sinar baharu buat keluarganya.
Menurut Azni, rumah yang didiaminya bersama keluarga di Jalan Ari Dolah, Air Tawar Baruh, di sini, mengalami kerosakan pada bahagian bumbung sejak beberapa tahun lalu sehingga menyebabkan kebocoran di beberapa ruang setiap kali hujan.
Katanya, keadaan itu menjejaskan keselesaan keluarga selain terdapat bahagian rumah yang masih belum dapat disiapkan berikutan kekangan kewangan.
“Saya bersyukur kepada Allah SWT kerana menerima bantuan ini. Terima kasih kepada Kerajaan Negeri dan Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) yang prihatin serta membantu keluarga saya.
“Sekurang-kurangnya selepas rumah dibaik pulih, kami dapat tinggal dengan lebih selesa dan tidak lagi perlu risau apabila hujan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Terdahulu, beliau menerima kunjungan Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin pada Program MPJ Prihatin: Menyantuni Penerima Program Baik Pulih Kediaman (PPKB) bersempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Jasin: Kampung Kita DUN Sungai Rambai, di sini, semalam.
Menurut bapa kepada tujuh anak itu, ujian hidup keluarganya bertambah berat apabila isterinya, Rohani Ismail, 45, disahkan menghidap kanser usus tahap empat selepas menjalani pembedahan, baru-baru ini.
Menurutnya, sebelum ini, isterinya sering mengalami masalah kesihatan termasuk kerap berulang-alik ke tandas sebelum pemeriksaan lanjut mendapati penyakit itu telah merebak.
“Sekarang saya perlu membahagikan masa antara menjaga isteri dan mencari rezeki sebagai nelayan. Pada waktu pagi saya akan menjaga isteri, manakala sebelah petang selepas anak pulang dari sekolah barulah saya turun ke laut.
“Walaupun perlu bekerja, saya sentiasa bersedia untuk pulang segera jika berlaku kecemasan kerana anak yang membantu menjaga ibunya masih bersekolah dan belum mempunyai lesen memandu,” katanya.
Ujar Azni, bantuan diterima nyata memberi lebih ketenangan untuknya memberi tumpuan kepada penjagaan dan rawatan isterinya, selain menyara keluarga.
Baginya, keprihatinan Kerajaan Negeri dan agensi berkaitan membuktikan masih ada pihak yang mengambil berat terhadap nasib golongan yang berdepan kesukaran hidup.
“Bantuan ini amat bermakna buat kami. Sekurang-kurangnya satu beban telah diringankan dan saya boleh memberi lebih tumpuan kepada keluarga, khususnya isteri yang sedang menjalani rawatan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

