Sorting by

×

KAMPUNG PADANG SUDAH BERUBAH WAJAH

Masa Membaca:2 Minit, 34 Saat

KESIDANG 8 Julai – Rumah Pangsa Kampung Padang yang dahulunya berdepan pelbagai masalah infrastruktur dan persekitaran kini berubah wajah hasil pelbagai usaha penambahbaikan dan projek naik taraf yang dilaksanakan secara berperingkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kesidang, Allex Seah Shoo Chin berkata, kawasan yang menempatkan lebih 350 keluarga, majoritinya terdiri daripada golongan B40 itu pernah berdepan pelbagai isu termasuk kesesakan parkir, sistem saliran rosak, pencahayaan tidak mencukupi serta kemudahan awam yang uzur.

Menurut beliau, keadaan di kawasan berkenaan sebelum ini agak membimbangkan sehingga menyukarkan jentera kecemasan dan lori kutipan sampah memasuki kawasan perumahan.

“Kalau dibandingkan keadaan dahulu dan sekarang, memang banyak perubahan yang telah berlaku di Kampung Padang.

“Dahulu kereta diparkir di kiri dan kanan jalan sehingga lori sampah sukar masuk. Pernah berlaku kebakaran dan jentera bomba juga menghadapi kesukaran untuk memasuki kawasan kerana laluan terlalu sempit,” kongsinya dalam wawancara khas bersama Melaka Hari Ini.

LEBAR JALAN, TAMBAH BAIK PARKIR

Menurut Allex, antara projek utama yang dilaksanakan ialah pelebaran jalan dalaman yang membolehkan sistem parkir disusun semula dengan lebih teratur sekali gus meningkatkan kapasiti parkir untuk penduduk.

Penambahbaikan itu, katanya, berjaya mengurangkan kesesakan dan memudahkan pergerakan kenderaan di kawasan tersebut.

“Sebelum ini, parkir dibuat secara melintang dan mengambil banyak ruang. Selepas jalan dilebarkan, susunan parkir menjadi lebih teratur dan lebih banyak kenderaan dapat ditempatkan,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, sistem saliran yang rosak akibat akar pokok besar turut dibaik pulih sepenuhnya, termasuk penggantian penutup longkang yang baharu dan lebih selamat.

“Pokok-pokok besar yang merosakkan saliran dan infrastruktur kawasan juga telah ditebang bagi mengelakkan kerosakan berulang pada masa hadapan,” katanya.

2
PENAMBAHBAIKAN fasiliti dan kemudahan di Rumah Pangsa Kampung Padang. Foto Muhammad Rasul Azli Samad

ASPEK KESELAMATAN DIUTAMAKAN

Tambah beliau, pelbagai kemudahan lain turut diberikan perhatian termasuk penggantian pagar dan tangga rumah pangsa, kerja membaik pulih struktur besi di bahagian dapur setiap unit kediaman serta peningkatan aspek keselamatan bangunan.

Katanya, projek naik taraf itu dilaksanakan menerusi kerjasama antara Lembaga Perumahan Melaka (LPM) dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

“Bumbung bangunan turut diganti, saluran yang rosak dibaik pulih dan keseluruhan kawasan dicat semula bagi memberikan suasana yang lebih ceria dan selesa kepada penduduk,” katanya.

Tambah beliau, kawasan itu turut menerima pelbagai kemudahan baharu termasuk pemasangan lampu solar hasil sumbangan Pejabat Ahli Parlimen Kota Melaka.

FASILITI LENGKAP

Selain itu, sebuah Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) turut diwujudkan bagi memberi manfaat kepada komuniti setempat khususnya golongan muda dan pelajar.

“NADI ini membolehkan penduduk mempelajari kemahiran teknologi maklumat serta menggunakan kemudahan komputer yang disediakan.

“Pada masa sama, ruang komuniti dan balai raya turut ditambah baik supaya lebih banyak program kemasyarakatan dapat dilaksanakan,” katanya.

Allex berkata, transformasi yang berlaku membuktikan kawasan perumahan lama juga mampu diberikan nafas baharu sekiranya mendapat perhatian dan perancangan pembangunan yang menyeluruh.

“Rumah pangsa ini sudah berusia lebih 30 tahun, namun hari ini keadaannya jauh lebih baik, lebih kemas dan lebih selesa untuk didiami.

“Ini adalah hasil kerjasama pelbagai pihak yang mahu melihat penduduk Kampung Padang menikmati persekitaran hidup yang lebih berkualiti,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

442
Kongsi :
Previous post BUMBUNG BAHARU, BANTUAN BERMAKNA BUAT NELAYAN JAGA ISTERI HIDAP KANSER