Sorting by

×

DURIAN PERCUMA, RAKYAT HARGAI KEPRIHATINAN TOK RAUF

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

TANJUNG BIDARA 8 Julai – Program makan durian percuma bukan sekadar untuk menyantuni dan berkongsi rezeki bersama rakyat, sebaliknya dilihat sebagai terjemahan kepada sikap peduli dan cakna Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh terhadap orang Melaka.

Rohana Mohd Noor, 60, dari Perkampungan Baru Ayer Hitam Darat berkata, program yang berlangsung juga lebih daripada sekadar menikmati durian percuma tetapi medium mengeratkan hubungan dalam kalangan rakyat pelbagia kaum dan merapatkan jurang pemimpin serta rakyat.

“Alhamdulillah terima kasih kepada Tok Rauf kerana belanja makan durian, saya makan tidak banyak cuma singgah untuk merasakan kemeriahan suasana, memang ramai yang datang ke majlis ini, sangat meriah.

“Rasa seronok bila makan beramai-ramai, sambil mulut menyuap isi durian mata pula memerhatikan pelbagai gelagat pengunjung yang hadir,” katanya ketika ditemui pada program makan durian percuma di Dewan Japerun Tanjung Bidara, di sini, pada Isnin.

Sementara itu Pang Shuenn Yaw, 42, iaitu peminat durian tegar pula mengambil keputusan untuk datang awal kerana risau terlepas peluang menikmati raja buah berkenaan yang dihidangkan secara percuma.

Katanya, program itu juga diuruskan secara sistematik bagi mengelakkan ada dalam kalangan pengunjung yang datang pulang dengan perasaan hampa kerana tidak dapat menikmati durian percuma.

“Durian yang sudah siap dikupas dihidangkan dalam talam kepada pengunjung, sebagai peminat raja buah saya makan perlahan-lahan, berhenti sebentar dan sambung semula baru rasa nikmatnya.

“Apa yang saya puji mengenai program ini adalah semua pengunjung tanpa mengira bangsa berpeluang menikmati durian secukupnya, isi durian juga boleh tahan meskipun bukan jenis premium,” katanya.

Program di lima Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Masjid Tanah itu secara keseluruhan menggamit seramai 3,000 pengunjung dengan durian disediakan pula sebanyak 2.5 tan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

358
Kongsi :
Previous post KAMPUNG PADANG SUDAH BERUBAH WAJAH