Sorting by

×

LIMA RESOLUSI PERKASA TVET MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

AYER KEROH 11 Julai – Lima resolusi utama hasil Konvensyen TVET Melaka 2026 bakal menjadi teras transformasi negeri dalam memperkasa agenda Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, resolusi itu mencerminkan kesepakatan empat kluster iaitu industri, institusi, pendidikan dan mahasiswa yang bersatu hati memacu pembangunan TVET negeri.

“Konvensyen bertemakan ‘Memacu Industri, Mencipta Kerjaya Masa Hadapan’ pada 10 Julai (Jumaat)lalu telah mencapai satu kesepakatan yang diterjemahkan dalam lima resolusi utama.

“Resolusi ini ialah mengangkat TVET sebagai laluan pendidikan dan kerjaya berprestij serta berdaya saing, memacu transformasi TVET berteraskan industri, melahirkan modal insan berkemahiran tinggi menguasai teknologi masa hadapan termasuk kecerdasan buatan (AI).

“Selain pendigitalan dan kemahiran insaniah serta jaminan kebolehpasaran graduan dan kesejahteraan mahasiswa melalui pembangunan kerjaya, keusahawanan, jaringan industri serta penyediaan persekitaran pembelajaran lebih kondusif dan inklusif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Karnival TVET Negeri Melaka 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri Datuk Khaidhirah Abu Zahar; Pegawai Kewangan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Melaka (MCORP) Datuk Mohd Yusof Abu Bakar serta kenamaan lain.

Beliau berkata, resolusi itu akan dikemukakan kepada Majlis TVET Negara sebagai cadangan strategik Melaka dalam memperkasa ekosistem TVET serta melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi selari keperluan industri masa hadapan.

“Kita ingin pastikan setiap cadangan yang dikemukakan benar-benar diterjemahkan kepada dasar dan tindakan yang memberi impak kepada pembangunan TVET negara,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

302
Kongsi :
Previous post TOK RAUF TITIP LIMA PESANAN BUAT ANAK MUDA
Next post PEMBINAAN POLITEKNIK ANGKAT DUN KUALA LINGGI SEBAGAI HAB PENDIDIKAN TINGGI