
PEMBINAAN POLITEKNIK ANGKAT DUN KUALA LINGGI SEBAGAI HAB PENDIDIKAN TINGGI
KUALA LINGGI 11 Julai – Cadangan pembinaan Politeknik Melaka berhampiran Universiti Melaka (UNIMEL) dijangka menjadi pemangkin baharu kepada pembangunan sektor pendidikan tinggi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Linggi Datuk Rosli Abdullah berkata, apabila terlaksana kelak perancangan itu akan melengkapkan ekosistem pendidikan di kawasan tersebut.
Rosli yang juga Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri berkata, projek itu merupakan antara perancangan strategik Kerajaan Negeri dalam usaha memperluaskan akses Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (VET) kepada belia, selain memenuhi keperluan tenaga kerja mahir di Melaka.
“Pembinaan politeknik itu akan memberi nilai tambah kepada kewujudan UNIMEL (Universiti Islam Melaka) sudah sedia beroperasi di DUN Kuala Linggi.
“Ia juga dapat mewujudkan sebuah hab pendidikan tinggi yang mampu menarik lebih ramai pelajar dari dalam dan luar negeri.
“Selain itu, institusi pendidikan baharu itu nanti dijangka memberi limpahan manfaat kepada penduduk setempat menerusi pertumbuhan aktiviti ekonomi, peluang pekerjaan di sekitar Kuala Linggi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui pada Siri Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat DUN Kuala Linggi yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, semalam.
Hadir sama, Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman serta Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer.
Turut hadir Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Zulkiflee Mohd Zin, Pegawai Kewangan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) Datuk TPr. Saifuddin Abdul Karim serta lain-lain kenamaan.
Mengulas lanjut, Rosli berkata, beberapa lagi pembangunan strategik sedang dirancang Kerajaan Negeri bagi mempercepatkan pertumbuhan Kuala Linggi sebagai kawasan yang mempunyai potensi besar dalam pelbagai sektor termasuk pendidikan, pelaburan dan ekonomi.
“Perancangan pembangunan yang diumumkan Ketua Menteri akan memberi impak besar kepada DUN Kuala Linggi, khususnya dalam sektor pendidikan dan ekonomi setempat.
“Kita yakin perancangan ini mampu membawa perubahan positif serta meningkatkan kesejahteraan rakyat di kawasan ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

