Sorting by

×

KUNJUNGAN KETUA MENTERI BUAT WARGA EMAS RASA DIHARGAI

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

LENDU 11 Julai – Siri Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu menjadi platform merapatkan kepimpinan Kerajaan Negeri dengan rakyat melalui kunjungan terus ke rumah penduduk bagi menyelami sendiri kehidupan dan keperluan mereka.

Bagi warga emas Sheikh Abu Bakar Sheikh Abdul Kadir Alashiri, 72, kunjungan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh ke kediamannya menjadi detik yang cukup bermakna.

Katanya, kehadiran Ketua Menteri membuktikan sikap rendah diri dan keprihatinan seorang pemimpin yang tidak membezakan latar belakang dalam menyantuni rakyat.

“Saya memang rasa sangat gembira. Kehadiran Ketua Menteri benar-benar membuatkan kami sekeluarga rasa dihargai,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui pada Siri Jelajah Melaka Sayang Rakyat DUN Lendu di Kampung Tahir Kaya, di sini, semalam.

Sheikh Abu Bakar yang menghidap masalah jantung, tekanan darah tinggi dan prostat menzahirkan penghargaan atas bantuan diterima, selain menyifatkan kehadiran pemimpin ke rumah penduduk sudah cukup memberi semangat dan kegembiraan kepada rakyat.

“Alhamdulillah atas sumbangan yang diberikan. Bagi saya, bukan soal bantuan semata-mata, tetapi apabila pemimpin datang bertanya khabar dan melawat sendiri, ia sudah cukup menggembirakan serta membuatkan rakyat rasa dihargai,” katanya.

Dalam pada itu, Sheikh Abu Bakar turut merasakan pendekatan turun padang yang dilaksanakan Kerajaan Negeri itu wajar diteruskan kerana membolehkan pemimpin melihat sendiri keadaan sebenar rakyat tanpa hanya bergantung kepada laporan.

“Kalau pemimpin tidak turun sendiri, macam mana mereka hendak tahu masalah yang dihadapi rakyat.

“Program seperti ini memang patut diteruskan kerana ia memberi peluang kepada pemimpin meninjau sendiri keadaan penduduk dan menyalurkan bantuan yang diperlukan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

497
Kongsi :
Previous post PEMBINAAN POLITEKNIK ANGKAT DUN KUALA LINGGI SEBAGAI HAB PENDIDIKAN TINGGI
Next post USIA SENJA LEBIH BERMAKNA, KINI MILIKI RUMAH SENDIRI – PENERIMA PPRS