Sorting by

×

BULATAN SOLOK DUKU LANCARKAN ALIRAN TRAFIK, TAK PERLU LAGI BERBARIS PANJANG

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

LENDU 12 Julai – Naik taraf daripada persimpangan lampu isyarat kepada Bulatan Solok Duku mendapat maklum balas amat positif daripada pengguna jalan raya, terutamanya pemandu kenderaan perdagangan dan penunggang p-hailing atau ‘abang rider’.

Pemandu lori ais, Norhisham Kamas, 40, berkata, jumlah kenderaan masih banyak terutama pada waktu pagi dan petang, namun aliran trafik menjadi lebih lancar kerana tidak perlu lagi berhenti apabila lampu isyarat merah.

“Paling kurang saya akan menggunakan laluan ini dua kali pada waktu pagi dan dua kali waktu petang untuk hantar bekalan ais kepada pelanggan. Sebolehnya saya cuba elak guna laluan ini pada waktu puncak kerana perlu menunggu lama disebabkan jumlah kenderaan meningkat mendadak.

“Jika terlalu banyak kenderaan saya perlu menunggu antara 15 ke 20 minit di persimpangan lampu isyarat, tetapi sekarang semakin lancar. Mungkin sekarang masih baru, tetapi pada masa akan datang insya-Allah pengguna akan semakin membiasakan diri,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Sementara itu penunggang p-hailing Muhammad Syawal Zakaria, 29, berkata selain melancarkan aliran trafik inisiatif itu juga mampu mengurangkan lagi risiko kemalangan kecil di lokasi berkenaan.

“Sebelum ini kesesakan paling panjang adalah dari bulatan ini hingga ke Sekolah Menengah Sungai Udang. Sebagai penunggang p-hailing keadaan itu memang menyukarkan kami kerana terpaksa mengambil masa lebih panjang untuk sampaikan pesanan pelanggan.

“Namun saya harap pihak berkenaan memasang lebih banyak papan tanda penunjuk arah sebagai panduan buat pemandu dan penunggang kerana pelaksanaan inisiatif ini masih baharu. Tetapi bagi saya bulatan lebih bagus jika dibandingkan persimpangan lampu isyarat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

493
Kongsi :
Previous post 200 PASUKAN BAKAL MERIAHKAN HARI INOVASI KEBANGSAAN @ MELAKA 2026
Next post NORLIDA SEBAK TERIMA HADIAH MOTOSIKAL RODA TIGA DARIPADA TOK RAUF