Sorting by

×

MAIM TERUS PERKUKUH PENGURUSAN WAKAF

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

AYER MOLEK 13 Julai – Kesedaran umat Islam di Melaka khususnya untuk berwakaf kepada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) meningkat apabila semakin ramai yang tampil untuk melaksanakan ibadah istimewa itu.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, terdapat dua jenis wakaf yang boleh dilaksanakan iaitu Wakaf Am dan Wakaf Khas yang membabitkan harta yang diwakafkan untuk tujuan tertentu seperti tapak perkuburan, surau atau masjid.

“Kita di MAIM banyak menerima wakaf daripada orang ramai khususnya pihak persendirian yang ingin mewakafkan harta atau aset dimiliki.

“Banyak tanah-tanah wakaf yang dserahkan kepada MAIM akhirnya ia diserahkan kepada pihak masjid untuk diuruskan seperti tujuan asal pewakaf seperti dijadikan tapak perkuburan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Rahmad berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Geran Tanah Perkuburan Kepada MAIM yang turut dihadiri Setiausaha MAIM Shaifulfazlee Mohamad, di Kampung Tambak Paya, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Molek berkata, antara cabaran utama yang dihadapi MAIM ialah menguruskan wakaf lama yang hanya dibuat secara lisan tanpa sebarang dokumentasi atau pendaftaran rasmi.

“Kebanyakkan sebelum ini harta atau tanah yang ingin diwakafkan dibuat hanya secara lisan sahaja ia sebenarnya tidak sah kerana menyukarkan proses pengesahan daripada sudut perundangan.

“Ini kerana setiap wakaf perlu didaftarkan secara sah dengan MAIM sebagai pemegang amanah tunggal harta wakaf di negeri ini yang mana proses tersebut mengambil masa kerana perlu mematuhi semua garis panduan dan prosedur yang ditetapkan.

“Proses akan menjadi lebih rumit apabila waris pewakaf sudah meninggal dunia atau sukar dikenal pasti sehingga memerlukan semakan yang lebih menyeluruh dan keadaan ini menyebabkan proses penyempurnaan wakaf mengambil masa lebih lama kerana ia perlu diselesaikan mengikut peruntukan undang-undang serta hukum syarak,” katanya.

Terdahulu, pada majlis itu pewakaf Mohd Miswan Taher, 91, mewakafkan tanah miliknya berkeluasan 0.92 hektar sebagai Tanah Perkuburan Islam Kampung Tambak Paya kepada MAIM.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

527
Kongsi :
Previous post NORLIDA SEBAK TERIMA HADIAH MOTOSIKAL RODA TIGA DARIPADA TOK RAUF 
Next post LEBIH RM6.7 JUTA KUTIPAN CAJ WARISAN MELAKA DIMANFAATKAN UNTUK PROGRAM PELANCONGAN BERIMPAK TINGGI