Sorting by

×

MELAKA HARAP RAKYAT NILAI HASIL KERJA, TOLAK POLITIK KEBENCIAN

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

SERI NEGERI 13 Julai – Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor menjadi bukti bahawa rakyat kini semakin bijak menilai berdasarkan hasil kerja pemimpin dan Kerajaan Negeri, selain menolak politik berbentuk hasutan dan kebencian.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, susulan itu, beliau berharap pentas demokrasi menjurus kepada kematangan politik serta prestasi pentadbiran beliau dan Kerajaan Negeri akan turut menjadi pilihan rakyat pada PRN Melaka tidak lama lagi.

Jelas beliau, sejak tiga tahun diberi mandat sebagai Ketua Menteri, pelbagai kejayaan telah dicapai dalam memacu kegemilangan Melaka dan memberi manfaat besar kepada rakyat, termasuklah dalam sudut ekonomi, pelaburan, pelancongan dan keharmonian serta perpaduan.

“Kita sedia maklum bahawa Johor telah menunjukkan satu manifestasi rakyat di luar jangka. Semua parti politik berkeyakinan mereka mampu menawan Johor dengan cara masing-masing, namun keputusan pilihan raya menunjukkan sebaliknya.

“Pentas politik demokrasi yang ditunjukkan rakyat Johor telah berpindah kepada satu kematangan politik yang jauh daripada politik kebencian. Politik hasutan tidak dimakan oleh rakyat Johor dan mereka semakin bijak menilai maklumat yang diterima, termasuk di platform media sosial.

“Jadi, kita sama-sama berharap dan mendoakan agar rakyat Melaka boleh menilai seperti mana rakyat Johor menilai prestasi kerajaan mereka untuk memilih pentadbiran negeri terbaik dalam tempoh lima tahun lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Persidangan Kedua, Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Melaka Kelima Belas di Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini.

Menurut Ab Rauf, sepanjang memimpin Kerajaan Negeri, pentadbirannya tidak pernah mengamalkan politik kebencian terhadap mana-mana pihak yang tidak sehaluan.

“Saya tidak pernah meletakkan politik kebencian kepada mereka yang tidak sehaluan dengan kita, sebaliknya saya lebih memberi tumpuan kepada bagaimana untuk memberi pulangan yang baik kepada rakyat daripada dasar yang kita laksanakan. Itu yang paling utama,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

352
Kongsi :
Previous post CAJ WARISAN MELAKA DIGUNAKAN SEPENUHNYA PERKASA PELANCONGAN
Next post MELAKA TUMPU USAHA TINGKAT PERTUMBUHAN TRAFIK UDARA LTAM