Sorting by

×

CAJ WARISAN MELAKA DIGUNAKAN SEPENUHNYA PERKASA PELANCONGAN

Masa Membaca:2 Minit, 4 Saat

SERI NEGERI 13 Julai – Kutipan caj warisan Melaka membawa impak positif kepada sektor pelancongan negeri apabila pelbagai program dan projek pembangunan di bawah aspek pemeliharaan dan pemuliharaan tapak warisan.

Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata, sejak 2012 hingga Mei 2026, sejumlah RM59.6 juta telah dikutip daripada caj warisan yang dikenakan kepada pelancong luar negara yang menginap di hotel-hotel yang ada di seluruh negeri.

Jelas beliau, bermula 2025, caj warisan itu telah ditetapkan kadar baharu iaitu RM3 hingga RM5 sebilik dan semalam, di mana ia telah memberi impak positif dalam usaha Kerajaan Negeri mempromosi serta memulihara tapak warisan dan sektor pelancongan negeri.

“Peningkatan jumlah kemasukan pelancong yang berterusan, terutamanya melalui inisiatif seperti Tahun Melawat Melaka dan Zon Bebas Kenderaan (CFZ) di Banda Hilir, telah membawa kepada peningkatan permintaan terhadap kemudahan penginapan yang secara langsung telah menyumbang kepada peningkatan kutipan hasil Caj Warisan.

“Berdasarkan statistik jumlah kutipan Caj Warisan pada tahun 2025, kenaikan kadar Caj Warisan dari RM2 kepada RM3 hingga RM5 sebilik semalam berdasarkan pengelasan premis pelancongan telah
membawa kepada lonjakan kutipan Caj Warisan sebanyak RM7.6 juta berbanding kutipan bagi tahun 2024 iaitu berjumlah RM4.781 juta, sekali gus menunjukkan kenaikan hasil sebanyak 58.98 peratus.

“Peningkatan ini merupakan impak positif dari pelaksanaan kadar baru Caj Warisan dalam memperkukuh hasil negeri bagi menyokong usaha pemuliharaan dan pemeliharaan warisan serta pembangunan sektor pelancongan Negeri Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Leng Chau Yen (PH-Bandar Hilir) mengenai kutipan dan pengurusan Caj Warisan Melaka pada Persidangan Kedua, Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Melaka Kelima Belas di Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini.

Menurut Abdul Razak, sejak pelaksanaan kutipan Caj Warisan pada tahun 2012, sebanyak 63 projek atau kerja-kerja melibatkan pemuliharaan dan pemeliharaan warisan termasuk pemeliharaan Tapak Warisan Dunia UNESCO telah diluluskan melibatkan peruntukan sebanyak RM10,979,527.70.

Pada masa sama, ujar beliau, pelbagai usaha penambahbaikan, menaik taraf dan pembersihan kawasan tapak-tapak warisan telah dilakukan bagi memastikan kelestarian dan pemuliharaan warisan negeri terus terpelihara secara mampan dan berstruktur.

Jelas beliau, antara yang menerima manfaat daripada kutipan caj warisan itu adalah seperti menaik taraf laluan pejalan kaki, menaik taraf panel penerangan tapak kajian Arkeologi Jajaran Kota Melaka; menaik taraf jeti Sungai Melaka; baik pulih muzium Pulau Besar; menaik taraf pencahayaan Bukit Melaka; baik pulih infrastruktur dan landskap Taman Rempah dan pelbagai lagi dalam memastikan warisan negeri dapat dikekalkan dan terpelihara.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

276
Kongsi :
Previous post LEBIH RM6.7 JUTA KUTIPAN CAJ WARISAN MELAKA DIMANFAATKAN UNTUK PROGRAM PELANCONGAN BERIMPAK TINGGI
Next post MELAKA HARAP RAKYAT NILAI HASIL KERJA, TOLAK POLITIK KEBENCIAN