
MELAKA REKOD LEBIH 15,000 PENUMPANG UDARA SETAKAT JUN
SERI NEGERI 13 Julai – Melaka merekodkan seramai 15,488 ketibaan penumpang dari dalam dan luar negara melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM), Batu Berendam bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini.
Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, daripada jumlah itu seramai 7,682 adalah pelancong antarabangsa yang memasuki Malaysia melalui pintu masuk LTAM, manakala 7,806 lagi merupakan pergerakan penumpang ke luar negara.
“Kehadiran pelancong melalui laluan udara ke Melaka melibatkan penumpang lebih 60 negara dengan jumlah tertinggi direkodkan dari Malaysia, diikuti Singapura dan China,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Wira Lim Ban Hong (BN- Klebang) mengenai bilangan pelancong yang masuk melalui LTAM pada Persidangan Kedua, Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Melaka Kelima Belas di Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini.
Hameed berkata, LTAM telah merekodkan kemasukan seramai 39,222 pelancong antarabangsa sepanjang tahun 2025, sekali gus mencerminkan peranan lapangan terbang itu sebagai antara pintu masuk utama pelancong ke Melaka.
“Pencapaian ini didorong oleh pelbagai inisiatif promosi sempena Tahun Melawat Melaka 2025 (TMM2025) pada tahun lalu yang berjaya meningkatkan kehadiran pelancong ke negeri ini melalui laluan udara,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


