Sorting by

×

MELAKA SASAR 700,000 PELANCONG INDONESIA SEPANJANG 2026

Masa Membaca:1 Minit, 44 Saat

SERI NEGERI 13 Julai – Melaka menyasarkan peningkatan sehingga 30 peratus atau 700,000 orang pelancong dari Indonesia sepanjang 2026 susulan pembukaan semula laluan penerbangan terus Melaka–Pekanbaru–Melaka.

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, sasaran itu berdasarkan kepada rekod kehadiran seramai 515,086 pelancong dari Indonesia sepanjang tahun lalu.

“Angka itu menjadikan Indonesia sebagai pasaran pelancong asing terbesar Melaka. Dengan adanya akses penerbangan terus ini, Kerajaan Negeri menerusi Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Jabatan Ketua Menteri Melaka optimis sasaran itu mampu dicapai, sekali gus memperkukuh kedudukan Melaka sebagai destinasi pilihan pelancong Indonesia.

“Untuk makluman laluan penerbangan terus ini telah beroperasi semula pada 10 Jun 2026 menerusi syarikat penerbangan Wings Air (Kumpulan Lion Air) di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM).

“Pembukaan semula laluan ini menjadi pemangkin besar dalam melonjakkan unjuran ekonomi serta ketibaan pelancong asing, terutamanya pelancong Indonesia ke Negeri Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Low Chee Leong (PH-Kota Laksamana) mengenai pengoperasian LTAM pada Persidangan Kedua, Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Melaka Kelima Belas di Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini.

Katanya, laluan penerbangan itu dikendalikan oleh syarikat penerbangan tambang rendah Wings Air menggunakan pesawat ATR-72 berkapasiti maksimum 72 penumpang dengan kekerapan tiga kali seminggu iaitu setiap Rabu, Jumaat dan Ahad.

“Penerbangan terus ini menjadi pilihan alternatif lebih pantas dan selesa berbanding laluan laut menggunakan feri yang digunakan sebelum ini.

“Pembukaan laluan ini turut berperanan sebagai hab transit udara domestik kepada warga Indonesia dari Jakarta, Batam, Medan dan Surabaya untuk meneruskan perjalanan ke Melaka melalui Pekanbaru,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Hameed berkata, pengoperasian LTAM ketika ini berjalan seperti biasa dengan dua sekolah penerbangan yang merekodkan kira-kira 200 pergerakan pesawat latihan setiap hari.

Katanya, LTAM kini menempatkan dua syarikat penerbangan berjadual iaitu Wings Air bagi laluan Pekanbaru–Melaka–Pekanbaru dan Scoot Airlines bagi laluan Singapura–Melaka–Singapura yang masing-masing beroperasi tiga kali seminggu.

“Selain itu, LTAM turut menerima pergerakan pesawat tidak berjadual termasuk pesawat milik agensi penguat kuasa kerajaan serta pesawat persendirian,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

288
Kongsi :
Previous post MELAKA BERPOTENSI JADI HAB PENERBANGAN TAMBANG MURAH SERANTAU
Next post MELAKA REKOD LEBIH 15,000 PENUMPANG UDARA SETAKAT JUN